21 PPV awam di Kelantan laksana vaksinasi ‘walk-in’
KOTA BHARU – Suntikan vaksin Covid-19 melalui ‘walk-in’ kini mendapat sambutan yang mengalakkan di negeri ini sejak ia dimulakan pada Ahad, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Menurutnya, sebanyak 21 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di seluruh negeri ini telah dibuka untuk pengambilan vaksinasi secara ‘walk-in’ sejak 5 Ogos lalu.
“Sabtu lalu, kami sudah buat keputusan 21 buah PPV awam yang kita ada ini, kita akan sediakan perkhidmatan vaksinasi secara ‘walk-in’.
“Melihat kepada data-data yang kita kumpul ini, janji temu yang diterima daripada Mysejahtera telah hampir optimum, jadi kita ambil keputusan untuk membuka PPV kita di seluruh daerah untuk 'walk-in',” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Zaini sebelum itu menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, untuk hari pertama diadakan, seramai 5,164 orang menggunakan perkhidmatan ‘walk-in’ di PPV di seluruh negeri ini dan jumlah tersebut dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Katanya, dengan keupayaan vaksinasi sehingga 35,000 dos sehari, pihaknya yakin Kelantan akan mencapai imuniti kelompok menjelang hujung September ini.
“Ini juga selaras dengan peningkatan bekalan vaksin yang diterima daripada CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19) iaitu kira-kira 1.2 juta dos bagi Ogos malah diunjurkan menerima jumlah bekalan sama bagi September yang akan diberikan secara berperingkat.
"Pada masa sama, dalam tempoh seminggu ini, kita juga akan melihat sambutan ‘walk-in’ ini dan mengkaji semula data berhubung sama ada 1.2 juta penduduk Kelantan yang terdiri daripada golongan 18 tahun ke atas sememangnya berada di negeri ini ataupun di luar negeri," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, ketika ditanya mengenai perkembangan jangkitan Covid-19 di negeri ini, Zaini memberitahu, 70 peratus daripada mereka yang disahkan positif wabak itu adalah melibatkan pesakit daripada kategori satu dan dua.
Katanya, untuk pesakit kategori tiga hingga lima pula, kebanyakannya melibatkan mereka yang masih belum menerima suntikan vaksinasi atau pun belum lengkap dua dos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!