Perdana Menteri tidak boleh ada duit banyak, jadi jutawan: Tun M
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan rakyat berhak mendakwa seseorang Perdana Menteri yang mendapat wang secara haram sekiranya pemimpin nombor satu negara itu menjadi jutawan selepas memegang jawatan tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, ia kerana kebiasaannya Perdana Menteri tidak kaya melainkan beliau mengisytiharkan kekayaan yang dimiliki sewaktu dilantik.
"Sebenarnya Perdana Menteri tidak boleh ada duit banyak. Penerimaan derma pun salah walaupun dengan ikhlas.
"Jika ada duit diterima, ianya untuk parti. Tetapi jika dimasukkan ke dalam akaun peribadi, itu salah," katanya menerusi catatan di blog Chedet pada Isnin.
Tambah Dr Mahathir, ahli politik negara juga tidak boleh terima hadiah atau derma dari negara asing.
Ini kerana katanya, ia akan memberi peluang kepada negara asing untuk campur tangan politik dalam negeri.
"Jika didakwa bahawa tokoh negara asing yang menderma untuk apa tujuan pun ia tetap salah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!