Diskaun cukai tanah sehingga 50 peratus untuk orang Perak
IPOH - Rakyat Perak digesa memanfaatkan pelbagai peluang dan insentif termasuk pemberian diskaun cukai tanah melebihi 50 peratus melalui pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera Fasa 2 Tahun 2021 yang diumumkan baru-baru ini.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, pakej rangsangan bagi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu bermula pada 1 hingga 31 Disember dengan menyediakan pelbagai insentif.
Menurut kenyataan itu, pemberian diskaun 50 peratus tunggakan cukai tanah menerusi PRE diberikan dengan syarat bayaran perlu dibuat secara sekaligus.
"Mana-mana pemilik tanah yang membuat bayaran secara ansuran tidak dapat menikmati insentif tersebut.
"Namun pemberian diskaun sebanyak 50 peratus ini hanya ditawarkan pada September 2021 sahaja," kata kenyataan itu pada Isnin.
Sementara itu, 30 peratus diskaun tunggakan cukai tanah bagi bayaran sekaligus diberikan untuk bayaran pada Oktober 2021 dan 10 peratus diskaun tunggakan bagi bayaran sekaligus yang dibuat pada November dan Disember 2021.
Menurut kenyataan itu, pemberian diskaun premium sebanyak 10 peratus juga turut diberikan menerusi insentif di dalam PRE fasa dua berkenaan.
Tambah kenyataan itu, pemohon yang telah menerima Notis 5A atau 7G boleh menikmati diskaun tersebut, namun insentif berkenaan tidak terpakai kepada mana-mana kelulusan premium yang diluluskan pada kadar nominal.
Selain daripada penambahbaikan dan pelanjutan pemberian insentif dari sudut cukai tanah, urusan-urusan tanah bagi maksud perserahan urusniaga dan bukan urusniaga, serahan dokumen dan pelanjutan tempoh bagi Notis 5A dan Notis 7G turut dipertimbangkan sehingga 31 Disember 2021.
Antara tawaran yang diberikan termasuklah pengecualian denda lewat bagi perserahan urusniaga, pengecualian denda lewat bagi kutipan hakmilik, pelanjutan tempoh kelulusan surat kebenaran pindah milik/gadaian dan pelanjutan tempoh Notis 5A dan Notis 7G secara automatik dan pengecualian fi permohonan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!