Masih guna sentimen agama, bangsa

Amiruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada waris pelajar.
Amiruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada waris pelajar.
A
A
A

ALOR SETAR - Sentimen agama dan bangsa masih dijadikan bahan kempen PRK DUN Semenyih, dipercayai antara punca kekalahan calon PH di kerusi berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, penggunaan sentimen itu diyakini akan terus menjadi senjata pembangkang pada PRK Rantau bagi menggambarkan kononnya kerajaan PH tidak memberi penekanan terhadap isu terbabit.

Menurutnya, tidak mustahil isu berkaitan patung agama Hindu dalam surau serta penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dicanang pembangkang bagi menunjukkan kerajaan gagal menangani isu terbabit.

“Banyak kelompok gunakan sentimen agama menjelang PRK Semenyih, untuk gambarkan kononnya kerajaan PH tak beri penekanan untuk selesaikan isu itu. Sedangkan kita sudah ambil tindakan terhadap pelaku, namun masih dijadikan isu,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Alor Janggus, hari ini.

Amiruddin berkata, isu berkaitan kaum bumiputera turut dijadikan kempen PRK sedangkan ia tidak berlaku.

“Kita kesal kerana polisi berkaitan peruntukan kepada bumiputera tidak dihapuskan, namun dimainkan pembangkang. Inilah hasil gabungan ‘kawan baru’ (Pas/UMNO), seorang bawa isu agama, satu lagi isu bangsa,” katanya.

Menurutnya, seramai 4,000 pengundi yang tidak keluar mengundi turut memberi kesan terhadap keputusan PRK Semenyih.

Amiruddin bagaimanapun menolak dakwaan bahawa kekalahan itu adalah penolakan rakyat terhadap kerajaan PH, yang diterjemah sebagai protes apabila gagal tunaikan janji manifesto PRU14.

Artikel Berkaitan:

“Kita ambil alih kerajaan baru sembilan bulan, jika keadaan baik, sudah tentu dapat segera laksana perancangan, namun sebaik ambil alih kita perlu buat ‘housekeeping’ sebab habis berselerak. Kita perlu masa dan kini sedang mula penuhi janji manifesto,” katanya.

Menurutnya, perkara yang mudah akan disegerakan, antaranya peralihan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM100 kepada orang bujang.

“Ini antara bukti kerajaan dengar suara rakyat dan lakukan perubahan berdasarkan keperluan rakyat. Apa pun isyarat yang mahu disampaikan pengundi, kita akan buat post mortem, baiki dan dengar hasrat mereka,” katanya.

Amiruddin berkata, penambahbaikan aspek penyampaian kerajaan sama ada polisi mahupun pelaksanaan akan dilakukan secara berterusan.

Mengulas peluang PH pada PRK DUN Rantau, katanya, semua parti mempunyai peluang sama rata.

“Jika kata ia kubu kuat BN, masa PRU14, yang kuat pun tumbang. Saya percaya PKR yang mewakili PH di kerusi itu akan teliti pelbagai faktor, termasuk kajian daripada PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebagai pertimbangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!