Duta Khas ASEAN ke Myanmar gesa gencatan senjata

Erywan Pehin Yusof - Foto Reuters
Erywan Pehin Yusof - Foto Reuters
A
A
A

HANOI - Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof menggesa semua pihak di negara ini mengadakan gencatan senjata selama empat bulan untuk membolehkan penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sampai ke negara Asia Tenggara itu dengan lancar, yang dijadualkan pada pertengahan September.

Pada 31 Ogos, Menteri Luar II Brunei itu dalam satu sidang video dengan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, mencadangkan gencatan senjata hingga akhir tahun ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Kyodo News.

Menurut duta itu, tentera telah menerima cadangan berkenaan.

Beliau berkata, ini adalah gencatan senjata untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja kemanusiaan ketika mereka mengedarkan bantuan kepada rakyat dan cadangan berkenaan juga telah dimaklumkan kepada pihak yang menentang tentera.

"Agihan bantuan kemanusiaan itu dikendalikan oleh Pusat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN yang berpangkalan di Indonesia.

"Penghantaran pertama bantuan merangkumi peralatan perubatan yang diperlukan segera untuk membantu pesakit Covid-19," katanya.

Langkah seterusnya ialah mendapatkan vaksin Covid-19 untuk negara ini, katanya.

Erywan dilantik sebagai duta khas pada awal Ogos tahun ini beberapa bulan selepas pemimpin ASEAN bersepakat mengenai 'konsensus lima perkara' untuk membantu meredakan krisis yang dicetuskan akibat rampasan kuasa di Myanmar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!