Rumah jadi stor rokok seludup bernilai RM300,000

Mohamad Noor (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan kotak-kota rokok yang dirampas susulan penahanan suspek di sini, 27 Ogos lalu.
Mohamad Noor (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan kotak-kota rokok yang dirampas susulan penahanan suspek di sini, 27 Ogos lalu.
A
A
A

KUANTAN- Polis Daerah Kuantan berjaya membongkar kegiatan pengedaran rokok seludup di sekitar daerah ini berikutan penahanan seorang lelaki di Perumahan Gambang Jaya, Gambang di sini pada 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, susulan penahanan suspek berusia 33 tahun itu, polis menemui dan merampas sebanyak 124 kotak besar berisi 6,200 karton rokok disyaki rokok seludup dianggarkan bernilai RM300,000 tidak termasuk cukai.

Menurutnya, susulan maklumat, pihaknya melakukan serbuan ke atas rumah tersebut kira-kira jam 11.30 pagi pada hari berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kediaman tersebut, polis menemui dan merampas lima telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta, wang tunai berjumlah RM24,000 serta beberapa barangan lain.

"Pemeriksaan ke atas kereta milik suspek yang berada di hadapan rumah membawa kepada penemuan tiga kotak besar rokok disyaki rokok seludup," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mohamad Noor menunjukkan kereta milik suspek yang turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Mohamad Noor menunjukkan kereta milik suspek yang turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Mohamad Noor berkata, hasil siasatan lanjut, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Perumahan Gambang Makmur di sini dan menemui 121 kotak besar berisi rokok juga disyaki seludup.

"Suspek yang berasal dari Perak bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Polis tidak menolak suspek berperanan sebagai penjaga stor manakala rokok-rokok yang dirampas dipercayai untuk dibekalkan kepada ejen atau penjual di daerah ini," katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak-pihak lain yang terlibat termasuk dalang sebenar kegiatan itu.

"Ia berikutan pengakuan suspek yang mendakwa dia baru sebulan bekerja dengan seorang lelaki berasal dari Johor," katanya.

Tambah beliau suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu kini direman sehingga 10 September ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!