Baucar tunai BKC perlu sampai segera kepada penerima: PM

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan supaya baucar tunai Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang disediakan Kementerian Kewangan sampai ke tangan penerima tanpa sebarang kelewatan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri telah meminta Kementerian Kewangan memastikan kelancaran proses pengagihan BKC khususnya bagi penerima yang berada di kawasan pedalaman, jauh daripada akses perbankan dan tidak memiliki akaun bank.

Menurut kenyataan itu berdasarkan data Kementerian Kewangan terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC tidak mempunyai akaun bank.

"Justeru Perdana Menteri mahu baucar tunai yang disediakan Kementerian Kewangan sampai ke tangan penerima terlibat tanpa sebarang kelewatan," menurutnya.

Perdana Menteri sebelum itu meninjau sendiri proses pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) Fasa 1 secara dalam talian pada Isnin dan pembayaran BKC telah dikreditkan kepada 10 juta penerima.

Rabu lepas, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Artikel Berkaitan:

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300, warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Ismail Sabri turut berinteraksi dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seperti Putrajaya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Perlis, dan Johor.

Perdana Menteri turut mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya serta menerima maklum balas proses pengagihan BKC daripada Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang melakukan tinjauan di BSN Triang, Bera, Pahang.

"Perdana Menteri berharap agar bantuan BKC ini dapat meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!