Kontrak kontraktor bina Hospital Papar mungkin ditamatkan: Khairy
PAPAR - Kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pembinaan Hospital Papar yang baharu mungkin akan ditamatkan kontrak berikutan kelewatan untuk menyiapkan pembinaan hospital itu mengikut jadual ditetapkan.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penilaian akan dilakukan terlebih dahulu untuk melihat sebab berlakunya kelewatan itu.
Menurutnya, lawatan ke Papar adalah untuk melihat perkembangan pembinaan hospital baharu yang sepatutnya siap pada tahun lalu.
"Namun demikian, setakat ini hanya 22 peratus sahaja hospital ini dapat dibina mengikut jadual pembinaan.
"Jadi selepas ini, saya akan ada pertemuan dengan Menteri Kerja Raya Malaysia (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk membuat keputusan apakah langkah ke hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Hospital Papar pada Isnin.
Khairy berkata, langkah ke hadapan yang pasti dilakukan adalah menamatkan kontrak bagi kontraktor yang sedia ada.
"Tetapi sebelum itu, kita kena buat penilaian dulu melihat apakah sebab kelewatan yang sedang berlaku dan kita akan buat keputusan yang cepat berkenaan dengan status projek ini.
"Kalau kita buat keputusan untuk tamatkan kontrak, kita perlu kembali kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya untuk melihat semula kepada peruntukan baharu atau tambahan jika diperlukan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Papar memang memerlukan sebuah hospital baharu dengan kapasiti yang lebih besar.
"Kalau kita lihat, hospital yang sedia ada agak terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang sedia ada, sebab itu hospital baharu ini perlu disegerakan," katanya sambil memaklumkan kos pembinaan hospital itu adalah sebanyak RM86 juta.
Sebelum itu, Khairy turut memaklumkan bahawa beliau sempat melawat dewan pembedahan yang dibina di hospital itu, namun kemudahan itu juga tidak dapat digunakan.
"Saya juga sempat melawat dewan pembedahan yang baru dibina dan malangnya dewan itu tidak dapat digunakan disebabkan pembinaan yang tidak mengikut keperluan untuk ia digunakan.
"Saya telah minta KSU (Ketua Setiausaha) untuk melihat status dewan pembedahan yang ada di fasa hospital ini sama ada dapat diselamatkan atau pun tidak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!