Penghantar makanan maut bertembung Toyota Hilux
MERSING - Seorang penghantar makanan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 17 Jalan Nitar-Mersing, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi yang melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan Toyota Hilux.
"Ketika siasatan, pemandu Toyota Hilux yang berusia 36 tahun memaklumkan dia dalam perjalanan dari arah Endau menuju ke arah Kluang.
"Semasa tiba di tempat kejadian, motosikal Honda EX5 itu tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan dia mengelak ke bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Cyril Edrward, walaupun sudah mengelak tetapi berlaku pertembungan yang menyebabkan mangsa, Mohd Farid Jaafar, 38, mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux dan seorang penumpang di tempat duduk hadapan tidak mengalami kecederaan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!