Agensi KKMM perlu siap siaga perkenal dasar menuju fasa endemik

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena Lawatan Menteri ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena Lawatan Menteri ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu bersiap siaga memperkenalkan dasar dan program yang bersesuaian dengan perkembangan negara menuju fasa endemik Covid-19, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, warga kementerian perlu menerima hakikat bahawa Covid-19 akan sentiasa ada dalam kehidupan seharian dan pengurusan semasa endemik sudah tentunya berbeza.

"Kerajaan kita ini haruslah menjadi sebuah kerajaan yang dapat memenuhi aspirasi rakyat kerana kita ada dalam satu keadaan yang cukup mencabar. Kita terkongkong dalam suasana pandemik terlalu lama, (dan) telah menjejaskan kehidupan rakyat di semua peringkat.

"Kembalikan keceriaan rakyat Malaysia, kembalikan harapan dan keyakinan diri. Kita mesti bangunkan Malaysia sebagai sebuah negara penuh berkeyakinan untuk kita bergerak dan maju ke hadapan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Annuar dalam masa yang sama menaruh keyakinan kesemua 11 agensi di bawah KKMM akan menjadi agensi berprestasi tinggi dalam memenuhi aspirasi rakyat setelah mengikuti taklimat daripada kepimpinan agensi terbabit.

Beliau berkata, penambahbaikan akan terus dibuat dari semasa ke semasa selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan soal pencapaian di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

"Kerajaan yang berprestasi adalah kunci kepada segala-galanya. Kita tak mahu kerajaan tidak stabil, tak mahu hilang punca ataupun kerajaan yang terikat dalam kepompong masalah tidak berkesudahan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!