5 bekas pengarah FGV Holdings berjaya hidupkan semula tuntutan balas
PUTRAJAYA - Lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Bhd pada Isnin berjaya dalam rayuan mereka untuk menghidupkan semula tuntutan balas terhadap syarikat itu dan 10 lagi berhubung kerugian yang didakwa dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd (APP) pada 2014.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah mendapati terdapat isu perundangan yang memerlukan perbincangan serius dan perlu dibicarakan serta diputuskan yang dibangkitkan oleh peguam kelima-lima bekas pengarah.
"Kami berpandangan bahawa kes ini tidak wajar dibatalkan pada peringkat ini. Oleh itu, kami membenarkan rayuan dan mengenepikan keputusan hakim yang bijaksana dengan kos RM10,000,” kata beliau yang menyampaikan keputusan itu dalam prosiding secara maya pada Isnin.
Turut bersidang, Datuk Supang Lian dan Datuk Ghazali Cha.
Kelima-lima individu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2019 yang membenarkan permohonan FGV dan 10 lagi untuk membatalkan tuntutan balas mereka yang merupakan plaintif dalam kes itu.
Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah peguam Fahda Nur Ahmad Kamar, yang mewakili kelima-lima perayu dan peguam Andrew Chiew bagi pihak responden.
Kelima-lima individu ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim. Mereka memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Februari 2019.
Selain FGV Holdings Bhd, 10 individu yang dinamakan sebagai responden ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.
Pada 23 November 2018, FGV menyaman bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah serta 13 lagi menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain. Bagaimanapun, kelima-lima bekas pengarah bukan eksekutif terbabit memfailkan tuntutan balas terhadap FGV dan 10 lagi.
Empat defendan yang dinamakan ialah Pengerusi FGV ketika itu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha, bekas Naib Presiden (Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran), Farisan Mokhtar dan bekas Pengurus Besar Kanan (Kluster Hiliran), Rasydan Alias Mohamed.
Sembilan lagi ialah bekas Pengarah Bukan Eksekutif iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.
Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman terbabit adalah mengenai pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!