Bekas Pengerusi MIC maut kemalangan
Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas. Gambar kecil, M Kannan.
A
A
A
Dalam Kejadian jam 12.20 tengah hari itu, Datuk G M Kannan, 79, yang tinggal di Taman Thivy Jaya, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi seorang diri dalam perjalanan dari arah Rasah Jaya ke Taman Thivy Jaya.
"Namun kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki belukar dan melanggar sebatang pokok.
"Kejadian itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini, (HTJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Hamlan Ishak berkata, bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Operasi berkenaan melibatkan seramai lapan anggota termasuk dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!