Projek terowong: Dakwaan Raja Petra mengarut, kata Guan Eng
Dakwaan itu langsung tidak munasabah kerana projek ini dibuat secara tender terbuka. Mana mungkin wujudnya rasuah kerana ia dilaksanakan secara tender terbuka: Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Pendedahan mengenai projek terowong dasar laut di negeri ini oleh penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin dianggap satu penipuan dan dakwaan mengarut.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Raja Petra sengaja membuat dakwaan tidak berasas itu untuk memburukkan dirinya, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan kerajaan negeri.
Menurutnya, selain dirinya dan kerajaan negeri, Raja Petra juga dilihat sengaja mahu memburukkan nama baik empat Exco Kerajaan Pulau Pinang yang turut dikaitkannya.
"Dakwaan itu langsung tidak munasabah kerana projek ini dibuat secara tender terbuka. Mana mungkin wujudnya rasuah kerana ia dilaksanakan secara tender terbuka. Saya sudah nyatakannya (dibuat secara terbuka) sebelum ini dan semua orang tahu ia tender terbuka.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendedahan Raja Petra: DAP harus disiasat - Najib
Siasatan terowong Pulau Pinang: Raja Putra berbohong, kata PM
"Sebelum ini pun ada tuduhan sama terhadap projek ini ketika kerajaan dahulu, tetapi tak ada sebarang tindakan diambil. Ini sekali lagi tuduhan serupa dibuat sebab itu saya kata ia tidak berasas dan tidak munasabah," katanya kepada media selepas menyertai Larian I Love Penang di sini, hari ini.
Guan Eng turut mengingatkan bagaimana Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan pernah menarik balik dakwaan rasuah terhadap beliau berhubung kes tersebut di mahkamah.
"Nasrudin pernah buat dakwaan sama tetapi dia tarik balik kes itu. Malah dia ada bayar saya RM10,000 wang pampasan kepada saya. Dengan tindakannya itu, jelas menunjukkan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.
"Lebih jelas ia dakwaan tidak masuk akal adalah apabila beliau (Raja Petra) menamakan empat Exco yang mana ada antara mereka tidak terlibat secara langsung dalam projek tersebut. Malah dakwaan ini juga dinafikan Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.
Terdahulu, Raja Petra menerusi sebuah portal mengeluarkan beberapa artikel yang memaparkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek terowong dan jalan raya dengan anggaran kos RM6.3 bilion.
Berdasarkan artikel-artikel tersebut, beberapa bekas Exco Pulau Pinang dinamakan dalam dokumen tersebut.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, kerajaan akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.
Beliau berkata, pembiayaan oleh pihak swasta diperlukan kerana projek itu melibatkan kos yang tinggi tanpa perlu bergantung kepada sumber kewangan dari Kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, kaedah pembiayaan secara swasta itu digunakan kerana kerajaan kekurangan dana.
"Projek ini melibatkan jumlah kewangan yang tinggi. Kita mahu besarkan lapangan terbang ini sehingga mampu menampung 16 juta penumpang pada satu sama.
"Menerusi PFI kita jangka melebihi RM1.2 bilion. Tapi ini akan dibuat secara tender terbuka. Kita harap prosesnya boleh dimulakan tahun ini dan pihak yang berjaya boleh dilantik akhir tahun ini," katanya.
Beliau berkata, kaedah sama akan digunakan untuk cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!