Latif mahu rawat kecederaan dulu

Abdul Latif (kiri) bersama atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum berlepas pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Isnin. - Foto Bernama
Abdul Latif (kiri) bersama atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum berlepas pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly tidak berhasrat untuk terus pulang ke kampung halamannya di Perlis selepas tamat menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, Latif yang meraih pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mahu menjalani sesi pemulihan kecederaan sebelum dijangka menemui ibu bapanya pada Oktober depan.

"Tengok dulu, saya akan menjalani kuarantin (selepas tiba di tanah air pada Isnin), kemudian saya akan ikut sesi pemulihan.

"Mungkin saya akan mengambil masa seminggu atau dua minggu begitu. Mungkin dalam bulan Oktober macam itu baru saya akan balik," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Latif turut memaklumkan bahawa kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika melakukan lompatan kelima tidak begitu serius.

"Sekarang keadaan saya dah okey. Cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Koyakannya macam stage 2 sahaja, tidak serius sangat," jelasnya.

Pada Sabtu lalu, Latif mencipta sensasi apabila muncul atlet para negara pertama berjaya mempertahankan pingat emas dalam sejarah penyertaan Malaysia di pentas Sukan Paralimpik sejak edisi 1972.

Tampil sebagai penyandang juara, Latif berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya pada edisi Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m) dalam aksi final di Stadium Olimpik, Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan itu menyaksikan Latif menjadi penyumbang pingat emas ketiga kontinjen Malaysia, sekali gus menepati sasaran ditetapkan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!