Cuba vaksinkan kanak-kanak dua tahun
HAVANA - Cuba pada Isnin menjadi negara pertama di dunia yang melakukan suntikan vaksin Covid-19 ke atas kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun selepas melakukan vaksinasi ke atas kumpulan umur yang lebih tua.
Negara itu menggunakan suntikan vaksin buatan tempatan yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia memulakan suntikan ke atas kumpulan umur dua hingga 11 tahun di wilayah tengah, Cienfuegos.
Pada Jumaat lalu, negara itu menyuntik vaksin ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.
Negara komunis itu berhasrat untuk menyuntik semua kanak-kanak dengan vaksin Covid-19 sebelum pembukaan semula sekolah yang sebelum ini telah ditutup sejak Mac 2020 tetapi kembali dibuka selama beberapa minggu pada hujung tahun lalu sebelum ditutup semula pada Januari lalu.
Vaksin Covid-19 buatan Cuba itu adalah yang pertama dihasilkan di Latin Amerika tetapi ia tidak menjalani kajian secara saintifik di peringkat antarabangsa.
Negara itu menghasilkan vaksin Covid-19 berdasarkan kepada teknologi protein rekombinan iaitu bahan yang dihasilkan melalui teknologi genetik.
Ia adalah pendekatan yang sama digunakan oleh syarikat Novavax dari Amerika Syarikat (AS) dan firma Sanofi dari Perancis bagi menghasilkan vaksin.
Cuba yang mempunyai 11.2 juta penduduk memulakan sesi persekolahanya pada Isnin.
Negara itu mencatatkan kes kematian keseluruhan akibat Covid-19 adalah melebihi 5,000 orang manakala kes jangkitan keseluruhan pandemik itu pula melebihi 689,000 kes. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!