Israel lancar serangan udara ke atas Hamas

Api menjulang tinggi selepas jet tentera Israel menyerang pekarangan Hamas di Khan Yunis, Gaza pada malam Isnin. - Foto AFP
Api menjulang tinggi selepas jet tentera Israel menyerang pekarangan Hamas di Khan Yunis, Gaza pada malam Isnin. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR GAZA - Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza dan bedilan meriam pada malam Isnin dengan menjadikan beberapa kemudahan Hamas di Genting Gaza sebagai sasaran utamanya.

Menurut tentera rejim Zionis, jet-jet pejuang negara haram Israel menyerang bengkel pengeluaran roket Hamas dan pekarangan pergerakan tersebut di Khan Yunis.

Saksi-saksi menyatakan pihak tentera Israel turut melepaskan bedilan meriam ke arah utara Gaza.

Bagaimanapun, tidak ada mangsa yang cedera atau terkorban dalam serangan itu, menurut sumber-sumber perubatan di Gaza.

Serangan itu dilancarkan kerana tentera Israel menyalahkan Hamas ekoran belon-belon api dilepaskan dari Gaza sehingga mengakibatkan kebakaran di negara haram Israel.

Ia juga dilakukan selepas enam pejuang Palestin berjaya meloloskan diri dari penjara Israel pada awal Isnin melalui sebuah terowong, sekali gus menyebabkan rejim Zionis melancarkan gerakan bagi memburu mereka.

Hamas dan Israel sebelum ini terlibat dalam pertempuran selama 11 hari pada Mei lalu sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban sebelum gencatan senjata antara kedua dua pihak dimeterai. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!