34 PATI ditahan cuba masuk Malaysia
KUALA SELANGOR - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 34 individu termasuk 17 wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan laut Jeram dalam Operasi Benteng pada Isnin.
Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kehadiran bot pom-pom yang membawa PATI di perairan laut Pulau Angsa pada jam 2.45 pagi.
"Dua buah bot ronda telah ke lokasi untuk mengesan dan membuat pintasan ke atas bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Shamsol berkata, pada jam 3.15 pagi, bot pom-pom itu telah berjaya dikesan di kawasan perairan laut Jeram pada jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari pantai.
"Kita berjaya menahan bot tersebut setelah 15 minit mengejarnya dan ketika ditahan bot itu bergerak tanpa dikemudikan disyaki tekongnya telah terjun ke laut semasa menyedari kehadiran bot ronda PPM," jelasnya.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot pom-pom itu mendapati seramai 34 PATI terdiri 32 warga Indonesia dan dua warga Myanmar.
"Bot dan PATI itu telah ditahan serta diiring ke jeti PPM selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1985 atas kesalahan memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya.
Mengulas lanjut, Shamsol berkata, siasatan awal mendapati PATI itu telah berada di laut selama tiga hari sebelum masuk ke pesisir pantai Selangor.
"Bot pom-pom hanyut di laut sementara menunggu arahan dari tekong darat di lokasi pendaratan.
"PATI yang ditangkap memaklumkan mereka telah membayar sebanyak 3 juta Rupiah (RM877) untuk urusan di bawa masuk ke negara ini," katanya.
Beliau berkata, bot pom-pom itu bergerak dari Tanjung Balai Asahan Indonesia.
"Kesemua PATI berusia 18 hingga 51 tahun itu pernah bekerja di negara ini manakala dua warga Myanmar datang ke Malaysia bagi tujuan berjumpa keluarga mereka yang berada di sini," katanya.
Shamsol berkata, empat daripada 34 PATI yang ditahan itu termasuk dua wanita didapati positif Covid 19.
"Seramai lapan anggota bot ronda PPM terpaksa dikuarantin kerana menjadi kontak rapat ketika melakukan tangkapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!