Bukan mudah baiki sistem sudah 60 tahun
PERMATANG PAUH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bukan mudah untuk kerajaan PH membaiki sistem berusia 60 tahun yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Katanya, usaha itu akan mengambil masa dan ini ditambah dengan beban hutang negara yang banyak, ditinggalkan oleh kerajaan BN dahulu.
"Selama 60 tahun kerajaan tidak pernah tukar. Bila kita ambil alih kita tidak ada dana yang mencukupi. Ini fakta... hutang negara kalau kita tidak membayar kita akan menjadi negara yang bankrap.
"Kita (kerajaan PH) baru lapan bulan, tidak mudah membaiki sistem yang dah lama. Ini bukan excuse (alasan).
"Kita cuba usahakan dengan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, jawatankuasa demi jawatankuasa macam mana kita nak turunkan kos sara hidup yang kita rasa bebankan rakyat," katanya ketika berucap pada program Santai Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH mengakui kerajaan baharu mempunyai kelemahan berikutan kebanyakan barisan Kabinet adalah muka baharu yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara.
"Kerajaan ada kelemahan memang saya akui, kita tidak 'perfect' (sempurna). Saya sendiri akui sebab (anggota) kabinet semua muka baharu. Yang lama pun (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng dan (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada pengalaman mentadbir negeri.
"(Menteri) hat lain semua muka baharu. Kami perlu realistik. Bagaimanapun kita akan cuba betulkan keadaan," katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata beliau sekeluarga terhutang budi dengan penduduk Permatang Pauh yang sentiasa memberikan sokongan, bermula dengan suaminya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga anak mereka Nurul Izzah.
Menurutnya walaupun kini beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat di kawasan itu, beliau sentiasa mengingati jasa penduduk Permatang Pauh.
"Saya tidak akan lupa jasa orang Permatang Pauh. Saya memang terhutang budi. Memang saya lama tak balik, memang rindu. Permatang Pauhlah di mana saya bertatih sehingga sampai ke peringkat dunia. Kini, anak saya Nurul Izzah pula menjadi wakil rakyat di sini untuk kesinambungan perjuangan kita," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!