Tindakan tegas individu hasut tidak ambil vaksin

Gambar kecil: Mudzahar Makhtar
Gambar kecil: Mudzahar Makhtar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menghasut masyarakat dengan persepsi negatif untuk tidak mengambil vaksinasi Covid-19.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan, Mudzahar Makhtar berkata, seharusnya minda masyarakat tidak patut dicemari dengan perkara sedemikian memandangkan vaksinasi adalah bertujuan membantu mencegah daripada terkena jangkitan Covid-19 yang kronik.

“Kita ada pakar, kita ada profesional mengenai isu vaksinasi ini. Kenapa masyarakat perlu mendengar persepsi negatif daripada mereka yang tidak bertauliah dan sebagainya.

“Jika kerajaan tidak bertindak, tidak mustahil persepsi negatif ini akan memberi kesan kepada mereka yang masih belum menerima vaksinasi.

“Semua pihak bertungkus lumus siang dan malam untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menerima vaksinasi masing-masing, namun masih ada lagi segelintir individu yang tidak bermoral sengaja mencetuskan isu sehingga mengugatkan keyakinan masyarakat terhadap vaksinasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang wanita yang bernama Dinaa yang didakwa berkongsi persepsi negatif mengenai pengambilan vaksin melalui laman sosial facebook miliknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mudzahar berkata, tindakan wanita berkenaan dilihat sebagai tidak cakna terhadap masyarakat apabila dia didakwa sengaja mencetuskan isu berkenaan sedangkan seluruh masyarakat digesa untuk mengambil vaksinasi masing-masing.

“Kerajaan sedang bersusah payah untuk membebaskan kita daripada penularan Covid-19 tetapi kita pula yang bersikap demikian. Janganlah bersikap sombong dengan ujian ALLAH SWT ini, sesungguhnya semua ini ada hikmah tersendiri.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat perlu lebih peka dan jangan mudah termakan dengan dakyah mengarut yang cuba dimainkan sesetengah pihak. Apa yang penting, ambil vaksinasi masing-masing dan jaga diri sebaik mungkin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!