Celcom laksana usaha tambah baik liputan 4G
CELCOM menyelesaikan hampir 95 peratus usaha penambahbaikan di 9,500 tapak dengan melaksanakan optimisasi rangkaian membabitkan lebih 3,600 tapak.
Syarikat telekomunikasi itu juga berusaha mempertingkat liputan rangkaian 4G di 3,200 tapak seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, usaha tersebut bertujuan menangani peningkatan trafik data menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan selaras dengan Jalinan Digital Negara (Jendela).
“Peningkatan trafik data yang pesat memperlihatkan rangkaian kami kini semakin menjadi pilihan akses internet yang utama, khususnya di kawasan yang tidak dapat dicapai oleh perkhidmatan alternatif jalur lebar tetap sepanjang tempoh pandemik.
“Pelaburan rangkaian yang dipacu dan usaha optimisasi bagi menambah baik pengalaman pengguna dalam norma baharu terus berada dalam landasan yang tepat, dengan sasaran penamatan perkhidmatan 3G pada hujung tahun ini,” katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Idham berkata, dalam suku kedua tahun ini, Celcom mencatatkan momentum pertumbuhan membanggakan dalam konteks pertambahan 1.2 juta pelanggan dan peningkatan hasil dua digit bagi prabayar pada asas tahunan.
Menurutnya, Celcom turut mencatatkan pertumbuhan trafik data lebih daripada 40 peratus dengan 741 juta petabyte (PB) berbanding 516 PB pada suku tahun kedua 2020.
“Transformasi Celcom memperlihatkan hasil operasi yang memberangsangkan di sebalik cabaran persekitaran makro.
“Trajektori pertumbuhan kami pada setengah tahun pertama 2021 merupakan hasil daripada fokus berterusan dalam pengurusan kos operasi dan pelaburan rangkaian yang dipacu, serta disokong dengan prestasi kukuh dalam dagangan dan agihan di suku pertama dan kedua tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, liputan rangkaian 4G Celcom kini meliputi 93 peratus populasi manakala 4G LTE-A pada 90 peratus.
“Kami akan meneruskan usaha mempertingkat kualiti liputan dan pengalaman rangkaian 4G serta memastikan pelanggan menikmati peralihan yang lancar daripada 3G ke 4G.
“Pasukan rangkaian kami terus berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian segera bagi perkhidmatan dan penambahbaikan di kawasan berisiko tinggi, serta di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Idham berkata, Celcom telah menambahbaik tiga pelan baru iaitu ‘Productivity Pack’, ‘Booster Pack’ dan ‘Flexi Pack’, bagi membolehkan peniaga tempatan melaksanakan transformasi digital kepada perniagaan mereka.
Ujarnya, Celcom turut memberi tumpuan kepada usaha meluas dalam menyokong rakyat Malaysia termasuk barisan hadapan, komuniti B40, pusat vaksinasi dan sebagainya dalam usaha menyemarakkan semangat untuk pulih kembali daripada impak Covid-19.
“Celcom terus prihatin dan sedaya-upaya melangkaui keperluan komersialnya untuk memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Kami akan meningkatkan usaha untuk menyediakan pengalaman rangkaian yang konsisten melalui optimisasi sumber utama dan membuka ruang melancarkan teknologi serta perkhidmatan 5G menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!