Kelab Eropah tidak setuju cadangan FIFA
KELAB-kelab di Eropah tidak bersetuju dengan rancangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mahu menganjurkan saingan Piala Dunia setiap dua tahun.
Ketua Eksekutif Ajax Amsterdam, Edwin van der Sar berkata, cadangan itu jika menjadi kenyataan akan mengubah banyak perkara selain menegaskan tempoh empat tahun sekali sudah cukup bagus.
"Kelab-kelab tidak bersetuju. Ia cadangan tidak masuk akal.
Terdapat banyak bantahan. Ia akan mengubah banyak perkara. Bola sepak adalah tentang kelab dan ia perlu kekal begitu.
"Kita perlu mengutamakan pemain-pemain dan cadangan ini tidak akan berpihak kepada mereka. Liga-liga juga mempunyai pandangan sama," katanya.
Sebelum ini, Presiden FIFA Gianni Infantino mahu kejohanan itu diadakan dua tahun sekali bermula dari edisi 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun kelab-kelab besar termasuk Ajax dan Paris Saint-Germain (PSG), serta Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) Aleksander Ceferin, menentang cadangan tersebut.
Bagi Ceferin, keunikan Piala Dunia akan hilang dengan penganjuran dua tahun sekali kerana jarak antara setiap edisi yang membuatkan ia lebih istimewa.
"Jika diadakan dua tahun sekali, keistimewaan itu akan lenyap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!