Tiga penjawat awam antara ditahan terlibat sindiket ketum
JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor merampas daun dan air ketum menerusi tujuh serbuan sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri dan Tangkak pada 27 Ogos hingga 4 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dalam tempoh seminggu itu dilakukan bermula jam 9 malam di beberapa rumah dan gudang hasil risikan yang dilakukan selama sebulan.
"Dalam keseluruhan operasi ini, pihak polis berjaya menahan 17 individu terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita tempatan selain seorang wanita warga Indonesia, semuanya berusia antara 20 hingga 56 tahun.
"Daripada 17 individu ini, tiga penjawat awam berusia 32 hingga 42 tahun ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan ketum.
"Semua suspek ini terlibat memiliki dan menjual air ketum selain penyalahgunaan ketum. Dua suspek lagi positif methamphetamine serta tiga suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.
Katanya, dalam serbuan itu pihaknya merampas 542.773 kilogram daun ketum bernilai RM5,427 dan 300.80 liter air ketum bernilai RM3,008, manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM8,435.
Menurut beliau, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan seramai 11,155 pengguna, selain beberapa peralatan memproses air ketum turut dirampas.
Jelasnya, menerusi semua serbuan tersebut JSJ IPK Johor berjaya melumpuhkan tiga sindiket ketum berbeza termasuklah yang sudah beroperasi sejak awal tahun dengan pasaran mereka adalah di seluruh Johor.
Beliau memberitahu, sindiket tersebut mendapat bekalan daun ketum dari utara dengan lori yang dipercayai muatannya dicampur dengan barang lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kata Ayob lagi, harga semasa daun ketum adalah antara RM30 hingga RM80 sekilogram yang boleh menghasilkan 10 hingga 15 liter air ketum. Ia kemudian dijual di pasaran pada harga antara RM15 hingga RM20 seliter.
"Kegiatan ini semakin popular kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum yang tinggi dan permintaan meningkat. Mereka menjual air ketum dalam botol dan plastik dengan penghantaran ke rumah atau dalam talian," katanya.
Tambah beliau, semua suspek yang ditahan direman antara tiga hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan sama, Ayob berkata, JSJN sudah menangkap 8,998 individu atas kesalahan dadah dan merampas 10.89 tan dadah dari 1 Januari hingga 4 September lalu.
"Dadah yang dirampas itu bernilai RM352.36 juta dan turut disita harta bernilai RM27.80 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!