Azan selamatkan rumah bilal daripada banjir lumpur

Yusof menunjukkan dewan orang ramai (kiri) dan rumahnya (kanan) yang bersebelahan sahaja di Kampung Setol, Yan pada Selasa.
Yusof menunjukkan dewan orang ramai (kiri) dan rumahnya (kanan) yang bersebelahan sahaja di Kampung Setol, Yan pada Selasa.
A
A
A

YAN - Seorang bilal melahirkan rasa syukur apabila laungan azannya telah menyelamatkan kediamannya di Kampung Setol, dekat sini daripada dimasuki air dan tanah akibat tragedi bencana kepala air pada 18 Ogos lalu.

Menceritakan detik tersebut, Yusof Hamid, 63, berbuat demikian selepas diminta isterinya, Siti Aisyah Saad, 56, setelah melihat dewan orang ramai di sebelah rumah mereka mula dimasuki air.

Menurut bilal Masjid Al-Muhammadi Kampung Pauh itu, dia menganggap kejadian tersebut sebagai kebesaran ALLAH SWT apabila air yang keluar dari dewan tersebut hanya melalui tepi rumahnya sebelum turun ke kawasan lebih rendah dan menuju ke Sungai Titi Hayun.

"Saya azan di belakang rumah kira-kira jam 5.45 petang selepas diminta isteri. Ketika itu air bercampur tanah semakin laju dari sebelah atas dan dewan orang ramai yang terletak di sebelah rumah juga mula dimasuki air.

"Anak saudara saya buka pintu dewan untuk pastikan air dan tanah tidak masuk ke dalamnya. Sepatutnya, air yang keluar dari dewan boleh masuk ke rumah saya kerana air yang membawa tanah itu agak deras, namun atas bantuan ALLAH, ia hanya melewati tepi rumah terus ke belakang dan di depan rumah.

Yusof melakonkan semula cara dia melaungkan azan di belakang rumahnya di Kampung Setol, Yan pada hari kejadian tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.
Yusof melakonkan semula cara dia melaungkan azan di belakang rumahnya di Kampung Setol, Yan pada hari kejadian tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.

"Di situ kawasan rendah sedikit sebelum menuju ke sungai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Setol, dekat sini pada Selasa.

Yusof yang juga imam surau Kampung Setol berkata, surau yang berdekatan dengan rumahnya juga turut dimasuki air setinggi hampir satu meter.

Artikel Berkaitan:

Semasa kejadian tersebut, kedengaran bunyi batu-batu kecil di dalam sungai bergeseran yang menunjukkan bahawa arus air sangat kuat pada masa itu.

"Lima minit selepas azan, saya lihat keadaan air yang turun semakin tenang dan syukur air yang bercampur tanah itu tidak masuk ke rumah," katanya.

Tambahnya, azan yang dilaungkan adalah salah satu usaha untuk menenangkan keadaan dan emosi beberapa ahli keluarga yang cemas dengan tragedi kepala air tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!