Perak sasar semua ladang ayam beralih sistem tertutup
LUMUT - Kerajaan negeri menyasarkan kesemua ladang ternakan ayam di Perak beralih kepada sistem tertutup dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, sasaran itu dibuat bagi mengurangkan kacau ganggu terutama masalah lalat dikatakan berpunca daripada reban ayam yang menggunakan kaedah terbuka.
“Sistem (ladang) tertutup ini kebaikannya dapat mengurangkan kacau ganggu lalat.
Lalat ini banyak di ladang terbuka. Kita mahu segerakan (pengusaha beralih ke ladang tertutup).
“Kini, kita sedang perbaiki Enakmen Perladangan Unggas Perak 2005 dan satu jawatankuasa telah ditubuhkan supaya kita mahu lihat dari aspek teknikal dan sebagainya.
Kita jangkakan kalau ikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa tiga tahun ini, kalau dapat kita nak semua ikut sistem (tertutup),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ladang Ayam di Kampung Baru, Sitiawan di sini pada Selasa.
Razman berkata, sehingga kini sebanyak 30 peratus daripada 526 ladang ternakan di Perak telah beralih kepada sistem tertutup dan pihaknya sedang berusaha memberi kesedaran kepada pengusaha yang masih menggunakan sistem terbuka.
“Untuk makluman, di Perak, sebanyak 33 peratus pengeluarannya adalah untuk penggunaan di seluruh Malaysia dan menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sedikit kekacauan akan menyebabkan harga ayam itu naik.
“Jadi, ini adalah peranan kita untuk mengimbangkan antara kacau ganggu dan pengeluaran industri makanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Razman berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani pelbagai isu berkaitan penternakan ayam termasuk berkaitan gangguan lalat berlaku di beberapa kawasan termasuk di daerah Manjung.
Razman yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata, pihaknya akan melakukan kajian bagi meminda Enakmen Perladangan Unggas Perak 2005 dalam mengenakan hukuman lebih berat terhadap pengusaha melakukan pencemaran alam sekitar termasuk menjadi tempat pembiakan lalat.
“Mungkin kita akan tetapkan (amaun kompaun lebih tinggi) sebagai pengajaran kepada pengusaha,” katanya.
Sementara itu, bagi pengusaha ladang ternakan ayam secara tertutup, Ling Yoke Hua berkata sistem secara tertutup memudahkan pengusaha mengawal pembiakan lalat di ladang ternakan.
Selain tu, katanya, sikap dan kesedaran pengusaha juga penting dalam menangani masalah lalat terutama di ladang mereka.
“Ini lebih kepada tanggungjawab pengusaha. Sistem tertutup ini dapat menjimatkan masa untuk pengurusan yang lebih efisien dan cekap,” katanya yang mengusahakan ladang milik keluarganya sejak 40 tahun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!