Djokovic hampiri Grand Slam ke-21
PEMAIN nombor satu dunia Novak Djokovic berpeluang untuk meraih gelaran Grand Slam ke-21 apabila mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan pemain tuan rumah, Jenson Brooksby 1-6, 6-3, 6-2, 6-2 pada Selasa.
Bagaimanapun, Djokovic mengakui aksinya pada set pertama agak goyah hingga menyaksikannya hampir tersingkir daripada kejohanan berkenaan.
“Sudah 16 tahun berlalu sejak kali pertama saya beraksi di gelanggang tengah bagi kejohanan bertaraf Grand Slam seperti ini; namun ia masih menjadi perlawanan yang hebat untuk saya.
“Saya akui, memang sukar untuk kita sentiasa memberikan yang terbaik, namun selagi saya masih ‘di sini’ (kejohanan), saya akan menghargai setiap perlawanan yang diharungi.
“Ia ibarat perjalanan yang panjang buat saya untuk mengejar kejayaan,” katanya.
Untuk rekod, Djokovic sudah meraih 20 gelaran Grand Slam setakat ini bagi menyamai pencapain Roger Federer dan Rafael Nadal.
Djokovic bakal berdepan pemain ranking kelapan dunia Matteo Berrettini, di separuh akhir pada Khamis.
Sementara itu Djokovic turut memberikan kredit kepada Brooksby yang disifatkannya telah beraksi dengan cukup baik hingga hampir menewaskannya pada pertemuan berkenaan.
“Dia telah bermain dengan cukup baik pada set pertama dan saya hampir tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalangnya.
“Namun, saya gembira mengharungi perlawanan ini kerana Brooksby berjaya memberikan tentangan sengit kepada saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!