DBKL perlu teliti SOP di Pasar Harian Selayang

Jalaluddin (tiga dari kanan) meninjau salah seorang peniaga di Pasar Harian Selayang ketika turun padang, pada Selasa. - Foto Facebook Jalaluddin Alias
Jalaluddin (tiga dari kanan) meninjau salah seorang peniaga di Pasar Harian Selayang ketika turun padang, pada Selasa. - Foto Facebook Jalaluddin Alias
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meneliti kaedah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Harian Selayang agar lebih sistematik dan tidak membebankan mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, menerusi tinjauannya di pasar berkenaan pada Selasa mendapati terdapat juga beberapa isu yang menjadi pertikaian antara persatuan perniaga dan DBKL antaranya membabitkan warga asing, lot meniaga dalam bangunan, pelesenan dan beberapa isu berbangkit.

Jalaluddin berkata, pihaknya memaklumkan jabatan-jabatan berkaitan untuk memberikan maklum balas segera berkaitan perkara yang dibangkitkan untuk tindakan sewajarnya.

"Jumaat lepas, saya dapat aduan mengenai beberapa perkara yang sedang dialami oleh peniaga Pasar Harian Selayang.

"Jam 7 pagi tadi, saya luangkan masa selama satu jam bagi meninjau sendiri keadaan di pasar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, pihaknya juga berkesempatan bagi mendapatkan maklum balas daripada beberapa peniaga yang beroperasi di pasar berkenaan.

Kata beliau, beberapa langkah diambil sebelum ini bagi membantu mengurangkan bebanan ditanggung peniaga harian terlibat.

"Antaranya DBKL telah memberikan pengecualian bayaran fi sewa sebanyak 100 peratus selama tujuh bulan sehingga Disember ini.

Artikel Berkaitan:

"Rata-rata (peniaga) yang saya temui memberi respon positif dan mengakui inisiatif ini berjaya mengurangkan bebanan mereka," katanya.

Tambah Jalaluddin, pihaknya memahami isu pasar borong dan Pasar Harian Selayang telah lama berlarutan untuk tempoh masa yang panjang dan seharusnya cuba diselesaikan oleh semua pihak.

"Seperti saya pernah katakan sebelum ini, jika tidak boleh selesaikan semua isu, jangan pula langsung tak cuba selesaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!