Polis kesan pesakit Covid-19 lari dari hospital
LAHAD DATU - Polis sedang mengesan seorang lelaki disahkan dijangkiti Covid-19 yang bertindak melarikan diri dari Hospital Lahad Datu pada Isnin malam.
Firdaus Abdul Halim, 30, disedari hilang pada jam 8.07 malam ketika kakitangan hospital sedang melakukan proses dokumentasi selepas disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu selepas mengadu demam dan hilang deria rasa.
"Susulan itu, ujian calitan RTK Covid-19 telah dijalankan dan hasilnya didapati positif Covid-19.
"Semasa proses dokumentasi dijalankan oleh kakitangan Hospital Lahad Datu, suspek bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Susulan kejadian itu, Rohan berkata, satu laporan polis dibuat oleh pegawai perubatan hospital terbabit dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta tampil menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!