Buka sekolah: Petugas Jabatan Kesihatan Labuan jalankan pemantauan

Dr Ismuni. - Foto Bernama
Dr Ismuni. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Jabatan Kesihatan Labuan akan menjalankan pemantauan ketat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan pembukaan semula sesi persekolahan bagi membantu mengawal kemungkinan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.

“Kami akan membantu dalam aspek pemantauan terhadap pematuhan SOP dalam kalangan guru dan murid,” katanya pada Selasa.

Dr Ismuni berkata, langkah kawalan vektor juga akan dilakukan di semua sekolah yang ditutup disebabkan pandemik Covid-19 bagi mencegah dan meminimumkan jangkitan penyakit bawaan nyamuk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail berkata, semua sekolah yang terlibat dalam pembukaan semula sesi persekolahan pada 3 Oktober depan akan menjalani proses sanitasi.

“Ahli jawatankuasa akan membuat lawatan berkala ke sekolah-sekolah berkenaan bagi memantau pematuhan SOP terutama mengenai aliran masuk dan keluar pelajar serta guru di premis sekolah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak sekolah agar menyediakan SOP mereka sendiri memandangkan premis sekolah berbeza dari segi saiz serta struktur dan menyerahkannya kepada Jabatan Kesihatan Labuan untuk penilaian serta penambahbaikan.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan pula berkata, pegawai Kementerian Pendidikan telah menjelaskan rasional di sebalik pembukaan sesi persekolahan tersebut semasa program libat urus Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kami faham kesukaran dialami ibu bapa namun kami harap pembelajaran di rumah diteruskan,” katanya.

Pada 15 Ogos, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, sekolah akan dibuka pada 3 Oktober ini secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula dengan pelajar dalam tahun peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!