Sultan Muhammad V mahu Kelantan capai imuniti kelompok akhir September

Sultan Muhammad V
Sultan Muhammad V
A
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan harapan agar rakyat Kelantan yang belum divaksin supaya mendaftar untuk menerima vaksinasi masing-masing atau mendapatkan vaksin Covid-19 secara terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan, Datuk Perwira Raja, Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan di sini pada Selasa berkata, baginda mahu Kelantan berjaya mencapai imuniti kelompok iaitu suntikan vaksin sehingga 80 peratus pada 30 September, seperti yang dirancang.

"Baginda berasa amat dukacita melihat negeri Kelantan antara negeri yang mempunyai peratusan penerima vaksin yang terendah iaitu sebanyak 50 peratus.

"Baginda mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin berkenaan," katanya.

Menurutnya, baginda juga bertitah agar rakyat Kelantan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka.

Selain itu, titah baginda, pengambilan vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

"Baginda turut merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

"Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, baginda turut menyarankan supaya semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan program 'outreach' di seluruh pelusuk negeri Kelantan terutama sekali di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk terhadap vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Baginda amat berharap rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit-pesakit lain tidak terjejas," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, baginda turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan, dan amat menghargai jasa petugas-petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit Covid-19 sejak tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!