Hartalega yakin kekal kompetitif di peringkat global
HARTALEGA Holdings Bhd yakin kekal kompetitif dalam pasaran sarung tangan global, dipacu oleh langkah automasi dan pendigitalan, meskipun syarikat pembuatan sarung tangan China menggiatkan usaha perluasan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kuan Mun Leong berkata, pihaknya telah membangunkan mesin pembungkusan automatik yang boleh mengurangkan 17 hingga 20 peratus tenaga kerja manual dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus memastikan syarikat akan kekal kompetitif dalam industri sarung tangan.
“China secara agresif meningkatkan kapasiti pengeluaran sarung tangannya. Daripada perspektif persaingan, sebagai sebuah negara penting untuk Malaysia terus menyediakan persekitaran operasi yang kondusif, terutama bagi industri sarung tangan, memandangkan Malaysia adalah juara global.
“Malaysia menerajui penawaran sarung tangan global memandangkan kita menguasai lebih 60 peratus bekalan dunia. Ini menjadi industri yang kompetitif, kita telah terbiasa dengan persaingan,” katanya semasa taklimat media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat pada Selasa.
Beliau berkata, pembuat sarung tangan di China telah merangka rancangan perluasan, justeru, Hartalega perlu mempertimbangkan persaingan dari republik itu sebagai sebahagian pelan strategik untuk organisasi.
Mun Leong berkata, menjelang akhir 2022, China dijangka menguasai 23 peratus bekalan global dan Malaysia dengan kira-kira 60 peratus berdasarkan jumlah perluasan yang diumumkan.
Melangkah maju, beliau berkata, tumpuan Hartalega adalah membina kilang baharu dan mempercepat pelaksanaan usaha pendigitalan dan automasi di samping memberi lebih penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Saya tidak nampak Malaysia akan hilang kedudukan sebagai peneraju dalam jangka terdekat dan sebagai pembuat sarung tangan global utama dalam tempoh terdekat dan sederhana. Bagi jangka panjang, ia bergantung bagaimana kita boleh bersaing dengan menerima guna automasi dan R&D bagi inovasi produk.
“Selain itu, persekitaran pengoperasian di Malaysia perlu kondusif supaya industri sarung tangan negara akan terus memimpin dunia,” katanya.
Beliau berkata, untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat, pelan perluasan Hartalega akan terus mencatatkan kemajuan secara strategik, kerana menyedari bahawa dinamik permintaan dan penawaran pasaran adalah dipacu oleh Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) dan NGC 1.5 di Sepang, Selangor.
Mengenai harga jualan purata (HJP), yang kini susut sekitar 30 peratus, Kuan berkata syarikat menjangkakan situasi itu akan ternormal pada suku pertama 2022 sebelum terus meningkat lebih tinggi, sekurang-kurangnya lebih tinggi daripada harga sebelum pandemik berlaku, berikutan strukur kos telah berubah.
“Kami mengalami masalah kos daripada segi kepatuhan sosial dan kos bahan yang kami bayar setakat ini sebenarnya lebih tinggi. HJP akan lebih tinggi namun margin akan ternormal pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Ia akan menjadi agak normal.
“Bagi HJP, kami berpandangan harga yang berpatutan adalah melebihi AS$30 (US$1=RM4.14) bagi setiap seribu sarung tangan. Jika HJP berada di bawah paras itu, margin akan menjadi amat rendah, justeru, saya berpendapat kami akan bergerak pada hala tuju itu. Susulan HJP yang lebih rendah, pelanggan kami membuat pelarasan ke atas inventori mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!