LPP sedia bantu tanaman alternatif ganti kelapa sawit
KUALA LUMPUR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedia memberikan kepakaran untuk tanaman alternatif kepada sawit terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felcra Berhad (Felcra).
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, Felda mempunyai rizab tanah yang luas dan boleh diusahakan untuk tanaman baharu dengan tempoh hasil tuaian singkat.
“Melalui kerjasama LPP dan agensi berkaitan seperti Felda dan Felcra, kita akan cuba bangunkan tanaman baharu. Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada komoditi sawit.
ARTIKEL BERKAITAN: Pekebun kecil perlu cari tanaman alternatif selain sawit
Kenyataan Teresa merujuk kawasan bersesuaian di Pahang
“Sebagai contoh, apabila Felda melakukan tanaman semula, ia mengambil masa tiga tahun untuk membuahkan hasil. Mengapa tidak kita tanam tanaman lain yang hasilnya boleh dituai dalam masa tiga hingga empat bulan,” katanya kepada Astro AWANI.
Mazlan berkata, gabungan kepakaran yang dimiliki oleh LPP dan rizab tanah luas dimiliki Felda akan mampu menjayakan hasrat kerajaan itu.
“Kita akan mulakan projek perintis ini di Felda Sungai Tengi, Selangor sebelum bulan puasa ini,” katanya.
Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim mencadangkan pekebun kecil beralih kepada tanaman baharu seperti kelapa, nanas atau buluh.
Langkah tersebut adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tanaman kelapa sawit sebagai produk komoditi negara termasuk menghentikan peluasan penanaman tanaman itu.
Pada masa sama, inisiatif itu dilihat dapat membantu meringankan beban pekebun kecil yang terkesan dengan kejatuhan harga minyak sawit pada tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!