141 pemeriksaan penjualan kit ujian Covid-19 dilaksanakan
RAWANG - Sebanyak 141 pemeriksaan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 dilakukan semalam di seluruh negara bagi memantau pematuhan harga siling kit ujian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 135 premis mematuhi harga kawalan yang ditetapkan, dua premis menjual di bawah harga siling, tiga premis menjual melebihi harga siling dan satu premis tidak menjual kit berkenaan.
Katanya, dua daripada tiga premis yang menjual kit ujian melebihi harga siling itu diberi amaran.
“Apa yang menarik, ada dua premis yang menjual di bawah harga kawalan, saya nampak peniaga ini amat berdisiplin,” katanya selepas melancarkan Program Pengumpulan Bahan Makanan dan Barangan Penjagaan Diri untuk mangsa fenomena kepala air di Gunung Jerai, Kedah.
Majlis pelancaran program yang dianjurkan oleh Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia di sini, hari ini itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat dan ADUN Taman Templer Mohd Sany Hamzan.
“Tanpa mengira fahaman politik, kita bersatu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa,” kata Rosol.
Pasukan Pakatan Pemandu akan bergerak ke Yan, Kedah pada Jumaat ini bagi menyalurkan bantuan makanan dan penjagaan diri yang dikumpul oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!