Sarawak perlu pilih pelabur dengan bijak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sarawak perlu bersikap selektif dalam menerima pelabur agar negeri tersebut tidak menjadi 'tempat pembuangan' bagi industri yang tidak diingini, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Pendirian ini juga akan membantu negeri untuk mengenal pasti pelaburan yang baik, yang bukan sahaja akan memberikan pulangan yang menguntungkan daripada segi kewangan tetapi juga untuk melindungi persekitarannya, katanya lagi.

"Saya mahu mengambil pendirian yang agak berhati-hati di sini. Sebenarnya ada banyak pihak yang ingin datang ke Sarawak dan memanfaatkan apa yang kita ada - tanah, tenaga serta buruh yang murah. Oleh kerana itu, saya rasa kita harus cerewet dalam memilih pelabur yang tepat untuk masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi panel di webinar bertajuk 'Sarawak 2030 Mengubah Harapan menjadi Realiti' yang dikendalikan oleh Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Datuk Dr Madeline Berma pada Selasa. RHB Bank menganjurkan acara itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (Recoda), Datuk Ismawi Ismuni memberitahu sesi berkenaan bahawa sekitar RM71.1 bilion pelaburan awam dan swasta yang diluluskan telah diterima ke dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Skor) sejak penubuhannya pada 2008.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang menumpukan pembangunan terhadap kawasan pedalaman, dataran tinggi dan bahagian utara kawasan Score, yang meliputi sekitar dua pertiga daratan Sarawak, melalui penubuhan tiga lagi agensi pembangunan.

"Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Badan Pembangunan Wilayah Utara (dibentuk) memandangkan daerah-daerah ini memiliki potensi mereka sendiri serta memerlukan pendekatan yang berbeza untuk membawa masuk pelaburan," katanya.

Pada sesi yang sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Dr Muhammad Abdullah Zaidel melahirkan keyakinan bahawa negeri ini mampu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan sebanyak lapan peratus menjelang 2030 seperti yang dinyatakan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS).

Artikel Berkaitan:

"Untuk mencapai taraf negeri maju (status) menjelang 2030 adalah satu pencapaian yang tinggi - bagi kita untuk mencapai pertumbuhan KDNK lapan peratus, tetapi itu tidak mustahil.

"Dengan menuju ke arah inovasi data sebagai platform pertumbuhan ekonomi negeri, kita percaya bahawa ini dapat dicapai. Dengan menekankan pada pendigitalan atau automasi dan teknologi, saya percaya bahawa negeri ini mampu membuat lonjakan," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!