Undi 18 perlu datang dengan ‘pakej’ pendaftaran automatik
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah diarahkan untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung pelaksanaan undi 18 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada SPR dalam perbincangan lebih dua jam pada Selasa.
Wan Junaidi menambah, keputusan mahkamah itu tidak menunjukkan kerajaan kalah sebaliknya tempoh masa untuk pelaksanaan undi 18 dipendekkan daripada tahun 2023 kepada 31 Disember ini.
Sebelum ini pada Jumaat minggu lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Pesekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Undi 18 sebelum ini dibawa oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Rang Undang-undang Undi18, yang dikenali secara rasminya sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, diluluskan Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian.
Yang menariknya, jika pelaksanaan Undi 18 ini menjadi kenyataan, mereka yang berumur 18 tahun ke atas buat pertama kalinya akan mengundi memilih calon yang mereka mahu.
Bukan itu sahaja, pelaksanaan ini mempunyai kesan amat besar kepada parti-parti politik yang ada di negara ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang ramai beranggapan akan berlangsung pada tahun hadapan.
Manakan tidak, parti-parti ini jika mahu mencalonkan seorang calon, pelbagai kriteria perlu difikirkan dari segi umur, cara interaksi atau komunikasi, turun padang, mesra orang muda dan tingkah laku mereka.
Jika salah percaturan atau tidak menepati kriteria orang muda, berkemungkinan mereka akan ‘dihukum’ dalam pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik pelaksanaan Undi 18 ini juga, apa yang dikhuatiri adalah berapa ramai daripada mereka ini akan mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya.
Disebabkan itu, di sebalik pelaksanaannya, ia perlu didatangkan dengan ‘pakej’ pendaftaran automatik.
Pendaftaran automatik ini perlu dilaksanakan oleh SPR agar mereka boleh mengundi tanpa perlunya mendaftar di mana-mana tempat.
Dengan perkembangan pesat dan kecanggihan teknologi yang ada sekarang, 'pakej' berkenaan tidak sukar untuk dilaksanakan oleh pihak SPR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!