Keabsahan PM demi ketelusan dan keyakinan rakyat
KOTA KINABALU - Keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah demi ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dibentuknya.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, selepas akuan bersumpah (SD) dilaksanakan, perkara itu perlu dibawa bagi membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri.“Apa yang kita sedia maklum semasa hadir ke Istana Negara, di mana Seri Paduka menyatakan kaedah dan cara pelantikan Perdana Menteri yang kesembilan menerusi kaedah SD.
“Selepas SD, Yang di-Pertuan Agong akan panggil semua yang telah memberi sokongan 100 lebih kepada seseorang itu untuk bertanya sama ada (sokongan disebabkan) tekanan atau keredaan.
“Selepas itu Seri Paduka menyatakan Perdana Menteri perlu membawanya untuk diabsahkan kedudukannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Kopungit di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri dan kerajaan yang telah dibentuk.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu juga berkata, pihaknya tidak mahu mendesak namun ia terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakan atau sebaliknya bagi membuktikan keabsahan Perdana Menteri.
“Sekarang ia berada di tangan kerajaan untuk melaksanakannya, bukan untuk kita tetapi Perdana Menteri dan kerajaan yang ada sekarang bagi membuktikan sokongan. Apa yang penting adalah bergerak ke hadapan.
“Kita banyak sangat politik, bagi kita keadaan ini harus menjadi satu peringatan, apabila ada prosedur patuhi kerana kita mahu ada ketelusan, kita mahu keyakinan rakyat itu ada, jangan nanti hari ini cakap lain, esok lain pula dibuat.“Nanti susah bagaimana kita nak dapatkan keyakinan dan sokongan rakyat. “Saya ingat saya cuma berpandukan titah Tuanku semasa di istana dan saya tak mahu dengar dakwaan-dakwaan untuk mengabsahkan kedudukan dia (Perdana Menteri),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!