Baiki masalah MySejahtera sebelum perkenal fungsi baharu: Hannah
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memberikan perhatian segera dan keutamaan memperbaiki masalah MySejahtera sebelum memperkenalkan sebarang fungsi atau ciri-ciri baharu.
Menurut Hannah, kegagalan untuk mengemas kini status vaksin menerusi aplikasi itu akan menambahkan lagi kesengsaraan, kesulitan dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat ketika ini.
"Kami telah menerima pelbagai aduan dan maklum balas daripada penduduk bahawa mereka tidak memiliki sijil digital di dalam MySejahtera walaupun telah mengambil vaksin lengkap.
"Mereka telah berusaha menghubungi Helpdesk MySejahtera untuk mengadu mengenai perkara ini dan mendapatkan sijil digital setelah lengkap menerima dua dos vaksinasi, namun mereka tidak mendapat sebarang maklum balas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Hannah berkata, adalah tidak munasabah untuk aplikasi MySejahtera mengalami ketidakcekapan seperti itu ketika semua pergerakan dihubungkaitkan atau bergantung kepada status vaksin.
Menurutnya, pembelian barangan harian, makanan, kemasukan ke padang, tempat kerja dan penggunaan pengangkutan harian, semuanya bergantung kepada status vaksin mereka.
"Ramai daripada mereka tidak dapat meneruskan aktiviti harian akibat kegagalan MySejahtera mengemas kini status vaksin mereka dan ini bertambah teruk apabila mereka tidak dapat menghubungi Helpdesk MySejahtera," katanya.
Malah, katanya, ada dalam kalangan mereka yang dirujuk kembali ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mengemas kini status vaksin sedangkan sesetengah PPV sudahpun ditutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!