Penurunan kadar vaksinasi beri petunjuk baik
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penurunan kadar vaksinasi memberi petunjuk baik bahawa ramai penduduk di negara ini telah mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penurunan kadar vaksinasi dijangka berlaku pada minggu-minggu akan datang.
"Saya menyedari ada banyak pertanyaan mengenai kadar vaksinasi menurun, ini sebenarnya petanda baik," katanya dalam ucapan majlis serah terima tugas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi di kementeriannya pada Rabu.
Hadir sama, bekas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada Februari lalu berada di landasan tepat.
"Pada 2 September, kita telah melepasi Amerika Syarikat dalam kadar populasi sekurang-kurangnya satu dos," katanya.
Beliau berkata, mengambil kira kadar peratusan penduduk Lembah Klang yang belum divaksinasi adalah kecil, program secara 'walk-in' akan dihentikan selepas 15 September ini.
"Ini bermakna bermula 16 September, penduduk Lembah Klang yang belum divaksinasi boleh mendapatkannya di klinik kesihatan tertentu yang akan diumum kelak," katanya.
Dr Adham yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, program 'walk-in' di negeri-negeri lain masih diteruskan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti pengumuman yang dibuat oleh jabatan kesihatan negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai 'walk-in'," katanya.
Tambah beliau, selain 'walk-in', program jangka luar (outreach) diteruskan CITF dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan tiada yang tercicir.
Katanya, setakat Selasa sebanyak 69.6 peratus populasi telah lengkap vaksinasi.
Sementara itu, Dr Adham berkata, seramai 547,595 mahasiswa institut pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) telah lengkap vaksinasi.
"Berdasarkan semakan, lebih 195,000 atau 37.5 peratus pelajar IPTA dan lebih 51,000 pelajar IPTS yang tidak mempunyai rekod pendaftaran sehingga kini.
"Sehubungan itu, saya berharap agar usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi dipertingkatkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!