Produk Housebrand: Pilihan untuk berjimat

Produk housebrand lebih jimat dari segi harga berbanding produk berjenama.
Produk housebrand lebih jimat dari segi harga berbanding produk berjenama.
A
A
A

Saya baru saja bersara pada bulan Mei yang lalu. Suka atau tidak, persaraan saya kebetulannya di tengah-tengah kemelut Varian Delta Covid-19 sedang mengganas.

Tidak dapat dinafikan, saya kehilangan sedikit pendapatan, kuasa beli juga terjejas. Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pendapatan dan sedikit simpanan yang boleh saya gunakan di saat terdesak.

Walaupun perjalanan hidup selepas pencen turut terkesan dan sukar, tetapi saya harus mencari jalannya. Mujurlah tanggungan seperti rumah, kereta dan motorsikal telah saya lunaskan lebih awal.

Walaupun ada perkara-perkara yang boleh dikurangkan dan ditangguhkan, tetapi tidak perbelanjaan seharian. Selain makan dan minum, bil-bil utiliti juga perlu dibayar. Itulah cabaran seorang pesara dan golongan B40 yang lain.

Sebagai pesara, saya kini mempunyai masa untuk meneliti barang yang saya perlukan dan membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian.

Saya perlu lebih bijak bukan sahaja untuk berjimat dari segi harga tetapi tidak mahu kompromi dari segi kualiti standing dengan produk jenama terkemuka. Jenama bukan keutamaan kepada saya.

Pencarian saya tidak sia-sia bila saya menemui produk housebrand. Namun saya yakin ramai pengguna di luar sana yang tidak tahu atau ambil kisah tentangnya, apatah lagi untuk mencubanya.

Artikel Berkaitan:

Mungkin kerana tiada promosi di media seperti jenama produk terkenal atau produk housebrand ini ditempatkan di rak-rak yang tidak strategik.

Atau mungkin kerana persepsi pengguna yang tak mahu dilihat ‘low class’ bila troli dipenuhi dengan produk housebrand?

Produk housebrand

Razali Mohamed Yassin
Razali Mohamed Yassin

Produk housebrand adalah barangan jenama sendiri keluaran sesebuah pasar raya dan hanya dijual di pasar raya tersebut.

Semua pasar raya besar memiliki produk housebrand sendiri meliputi barangan makanan, barangan penjagaan diri dan rumah.

Tesco (kini Lotus’s), Aeon, Mydin, NSK, Econsave dan Giant turut mempunyai produk housebrand mereka sendiri. Ada pasar raya yang memasarkan produk housebrand masing-masing dengan nama pasar raya mereka seperti Tesco dan Mydin.

Ada juga menggunakan nama-nama lain untuk produk housebrandnya. Housebrand yang tidak menggunakan jenama pasar raya berkenaan ialah jenama TopValu dari Aeon.

Kualiti adalah lebih penting berbanding apa pun nama atau label yang digunakan. Tetapi siapa yang menentukan kualitinya?

Saya dimaklumkan bahawa syarikat induk sesebuah pasar raya berperanan secara langsung dalam memilih sesuatu produk untuk dijadikan produk housebrand mereka.

Tesco dan Aeon mempunyai syarikat induk mereka iaitu Tesco UK dan Aeon Jepun yang turut sama menentukan standard sebelum sesuatu produk itu dijadikan produk housebrand mereka.

Diantara produk housebrand yang saya pakai dan guna adalah kertas tisu, tisu dapur, pembersih lantai, antiseptik kumur, sabun cuci tangan dan banyak lagi.

Semua telah saya cuba dan kesimpulannya, kualiti produk housebrand yang saya pilih dan cuba adalah setanding dengan jenama ternama yang pernah saya guna sebelum ini.

Seperti kata pepatah inggeris “Seeing is believing”, tapi bagi produk housebrand, “Using is believing”. Setelah dicuba dan diguna, baru kita yakin kualitinya standing dengan produk berjenama.

Sebagai contoh, antiseptik kumur. Jenama terkenal yang dahulu saya guna berharga RM22.90 untuk 750ml. Tetapi antiseptik kumur yang serupa bagi housebrand pasar raya yang saya beli adalah RM12.90.

Ini bermakna saya jimat RM10 atau 43%. Dari segi rasa, bau, dan keberkesanannya adalah sama dengan jenama ternama yang saya gunakan dahulu.

Kekemasan botolnya juga serupa. Harga bagi air mineral 1.5L jenama terkenal ialah RM2.80 manakala air mineral housebrand dijual hanya pada harga RM1.06.

Penjimatan RM1.70 atau 160% untuk air mineral yang sama dari segi rasa dan kandungan mineralnya. Sumbernya pun sama.

Secara keseluruhannya saya boleh berjimat sehingga 40% jika saya memilih untuk membeli produk housebrand. Kini saya hanya berbelanja RM120 dengan produk housebrand berbanding RM200 untuk produk jenama terkemuka bagi barang keperluan rumah yang sama.

Bagaimanapun perbandingan ini berbeza untuk produk makanan kerana ia bergantung kepada citarasa masing-masing.

Kita cenderung untuk memilih produk mengikut citarasa kita dan ahli keluarga sebelum kita cuba dan beralih ke produk housebrand.

Pengguna secara relatifnya lebih cerewet apabila melibatkan pemilihan makanan. Faktor citarasa dan selera sangat signifikan. Jenama housebrand masih belum mampu menjadi daya penarik kepada pengguna kecuali sebahagian sahaja seperti roti dan bakeri meskipun harganya lebih murah.

Persepsi pengguna perlu berubah dari membeli kerana jenama dan berdasarkan iklan yang menarik kepada produk berasaskan kualiti, memenuhi keperluan dan dalam masa yang sama menawarkan penjimatan. Laksanakan hak kita sebagai pengguna dengan membuat pilihan terbaik. Jadilah pengguna bijak!

Teliti sebelum membeli

Mydin turut mempunyai produk housebrand sebagai pilihan kepada pembeli.
Mydin turut mempunyai produk housebrand sebagai pilihan kepada pembeli.

Sebagai pengguna bijak danbermaklumat, kita harus berani mencuba dan memilih berdasarkan kualiti dan harga.

Pandemik Covid-19 telah mengajar kita untuk mengutamakan pembelian barangan berdasarkan kualiti dan nilai, dan bukannya jenama.

Produk housebrand terbukti mempunyai kualiti setanding barangan berjenama. Paling utama, ia ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan dan menjimatkan dari produk berjenama dengan kualiti yang setanding.

Pada masa yang sama, pembelian produk housebrand akan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia yang telah dilancarkan sejak 1984.

Produk housebrand merupakan alternatif untuk mendapatkan produk berkualiti pada harga yang lebih murah (value for money) sekali gus mengurangkan perbelanjaan rumah.

Pilihan ditangan kita! Kita tidak perlu lagi taksub kepada jenama atau kedai tertentu sahaja. Kita harus bersedia mencuba dan beralih ke jenama lain dan kedai lain jika harga sesuatu barang dijual pada harga yang tidak munasabah mengikut perkiraan dan dompet kita.

Gunakan hak kita untuk memilih yang terbaik dari segi harga dan kualiti barangan bagi mewujudkan persaingan yang sihat dikalangan pengeluar produk yang akhirnya akan menguntungkan pengguna.

Tinggalkanlah paradoks lama, “Alah Membeli Menang Memakai” dan “Biar Papa Asal Bergaya”. Slogan pengguna bijak di abad digital seharusnya “Bijak Membeli, Menang Memakai”.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!