Gangguan seksual: Buat laporan terus tanpa tunggu RUU siap
SEPANG - Mangsa gangguan seksual disaran untuk terus membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual dibentangkan di Parlimen.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kerajaan mempunyai undang-undang sedia ada berkaitan kes tersebut kerana RUU tersebut perlu melalui pelbagai proses.
Beliau yang ditemui selepas memberikan sumbangan Bakul Prihatin Negara di sekitar Sungai Pelek, di sini berkata, mangsa boleh terus membuat aduan ke balai polis berhampiran atau Talian Kasih 15999.
“Kita ada akta sedia ada kerana RUU ini adalah RUU baharu, bukan yang dipinda.
“Sebab itu ia mengambil sedikit masa dan sekiranya ada mangsa yang mendapat gangguan seksual, sudah pasti aduan boleh terus dibuat.
“Bukan kena ada RUU dulu, dan mangsa tidak perlu buat aduan dan tidak berdiam diri,” katanya di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Rina berkata, RUU tersebut masih di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara kerana melibatkan banyak kementerian lain memandangkan ia RUU baharu.
Pihaknya menggesa kementerian terbabit mempercepatkan proses pembentangan RUU tersebut.
“Kita menggesa pihak berkaitan untuk mempercepatkan proses tersebut.
“Tapi apa yang lebih penting pada saya adalah kesedaran, komitmen, kepekaan masyarakat dan advokasi.
“Bila siap itu (RUU Gangguan Seksual), kita tunggu,” katanya.
Rina pada Rabu turun padang bagi menyerahkan bantuan Bakul Prihatin Negara kepada penerima-penerima sekitar Sungai Pelek, di sini.
Katanya, sekitar RM1.5 bilion diperuntukkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Julai lalu kepada 512,643 penerima di seluruh Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!