Tindakan tegas aktiviti jual hidupan liar dalam talian
LAHAD DATU - Kerajaan Sabah memandang serius aktiviti penjualan hidupan liar termasuk daging haiwan itu secara haram menggunakan platform media sosial dan laman sesawang.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assaffal P Alian berkata, bagi menangani perkara itu, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah perlu agresif dan mengenakan tindakan tegas serta penalti sewajarnya terhadap individu didapati bersalah terbabit dalam kegiatan tersebut.
"Kuatkuasakan peraturan, kenakan penalti (secukupnya) agar individu yang didapati bersalah tiada pilihan dan biarkan undang-undang tegas dikenakan kepada pesalah ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Hari Jabatan Hidupan Liar peringkat negeri di sini, hari ini.
Assaffal mewakili Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew, merasmikan program tersebut.
Menurut Assaffal, kerajaan tidak menghalang urus niaga berkaitan hidupan liar secara dalam talian tetapi perlu mendapatkan khidmat nasihat serta pematuhan undang-undang yang ditetapkan.
Selain itu, katanya perlindungan terhadap hidupan liar terbahagi kepada haiwan dilindungi undang-undang sepenuhnya dan tidak boleh diburu manakala ada juga haiwan dibenarkan diburu namun perlu mendapatkan lesen perburuan daripada JHL bagi tujuan komersial atau kegunaan sendiri.
Mengulas mengenai keperluan meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 ekoran kegiatan membunuh haiwan semakin menjadi-jadi di Sabah, Assaffal tidak menolak kemungkinan dari semasa ke semasa ada perubahan atau pembaharuan terhadap enakmen sedia ada.
Namun, beliau berkata, perkara itu perlu dikaji dari segi impak pemindaan enakmen serta mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sebelum keputusan diambil.
Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, sebuah jawatankuasa bertindak melibatkan semua agensi penguatkuasaan ditubuhkan bagi menangani sindiket perdagangan hidupan liar di negeri ini.
"Menerusi pasukan petugas khas ini yang bekerjasama dan berkongsi maklumat (kes di darat dan laut) dengan pasukan penguatkuasa dan Pasukan Polis Marin (PPM) antara penyumbang banyak tangkapan (berkaitan hidupan liar) di laut," katanya.
Berhubung penyeludupan hidupan liar ke negara jiran, Augustine berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Kastam bagi menangani masalah tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!