Mahkamah ingatkan orang ramai, anak Ahmad Zahid tidak ulas kes bicara
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, mengingatkan orang ramai termasuk anak perempuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak mengulas kes perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu di laman sosial.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian ketika prosiding penghujahan pembelaan di akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.
Sequerah berkata, sebarang ulasan yang bersifat sub-judice tidak sepatutnya dibuat pada peringkat ini kerana perbicaraan masih berlangsung dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Isu itu dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berhubung isu hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Instagram nurul.zahid yang menyentuh isu imuniti yang dihujahkan oleh pihak pembelaan, Isnin lalu.
Raja Rozela berkata, pemilik akaun tersebut seakan memperlekehkan undang-undang kerana isu imuniti yang disentuhnya masih dalam pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan.
“Tindakan pemilik akaun tersebut adalah bersifat sub-judice dan mahkamah perlu menghalangnya dan pihak-pihak lain daripada mengeluarkan sebarang ulasan berkaitan kes pada bila-bila masa,”' katanya.
Sementara itu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memohon maaf kepada mahkamah dan memberi jaminan akan memaklumkan kepada Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 42, agar memadam hantaran tersebut jika mahkamah menghendakinya berbuat demikian.
Dalam pada itu, semakan yang dijalankan terhadap laman Instagram milik Nurulhidayah menunjukkan pemilik akaun itu menyatakan permohonan maaf manakala hantaran tersebut telah dipadam.
Pada Rabu, dijadualkan prosiding penghujahan pembelaan di akhir kes pendakwaan membabitkan Ahmad Zahid, 69, yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!