Buka gimnasium, KBS bawa cadangan ke mesyuarat kabinet
JOHOR BAHRU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membawa cadangan membenarkan gimnasium di seluruh negara beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam mesyuarat kabinet pada Khamis.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbangkan sebagaimana kelonggaran diberikan terhadap industri kreatif termasuk menonton di panggung wayang.
"Kita mengharapkan sokongan daripada pihak-pihak lain untuk memungkinkan operator gimnasium di seluruh negara bernafas dan perniagaan mereka dibuka semula.
"Kita tidak boleh buka (gimnasium) sewenang-wenangnya tetapi SOP yang ketat perlu diadakan. Kita boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.
"Ramai yang kata ini (gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya dengan orang yang duduk panggung wayang, orang pergi gimnasium menitikberatkan kesihatan," katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini pada Rabu.
Pada pagi Rabu, Ahmad Faizal dalam status Twitter berharap kelonggaran SOP yang diberikan kepada industri kreatif berkuat kuasa pada Khamis akan diperluaskan kepada sektor sukan seperti gimnasium dan sukan padang.
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri KBS gesa pembukaan semula gimnasium, sukan padang
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, cadangan tersebut juga akan dibawa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.
"Bukan sahaja pemilik gimnasium yang terkesan tetapi jurulatih turut menerima kesan apabila gimnasium tidak dibuka. Mereka yang terlibat dalam sukan ini perlu teruskan kerana kalau tidak terus berlatih, badan akan terkesan.
"Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing ada membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam (Selasa).
"Mereka juga ada pandangan sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau meninggalkan latihan dalam masa panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!