'Lebih 60 peratus lengkap dua dos vaksin'
KOTA BHARU - Lebih 60 peratus penggiat industri pelancongan di negeri ini telah menerima vaksin Covid-19 masing-masing, kata Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar Datuk Md Anizam Abdul Rahman.
Menurutnya, ia merupakan salah satu langkah persediaan untuk membuka kembali sektor berkenaan dari semasa ke semasa jika kerajaan membuka ruang rentas negeri mengikut arahan yang dikeluarkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Lebih 60 peratus daripada mereka sudah menerima dua dos namun masih ada lagi yang belum menerima suntikan, masing-masing menunggu giliran.
“Dengan adanya pengambilan vaksin secara ‘walk-in’ ini, kerajaan negeri harap mereka dapat keluar mengambil vaksin masing-masing supaya kita dapat membantu menghindari jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Rabu.
Menurutnya, sehingga kini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang makluman mengatakan ada antara penggiat industri pelancongan yang bersikap antivaksin dan berharap semuanya memberi kerjasama sebaik mungkin bagi menjaga keselamatan diri masing-masing.
Beliau memberitahu, walaupun ada hotel yang bertukar pengurusan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun ia tidak merencatkan aktiviti tersebut memandangkan ia masih ‘hidup’ dengan kadar yang minimum.
“Memang pelancong tiada, namun hotel kita banyak guna untuk kuarantin dan sebagainya. Maka, walaupun tiada pelancong, hotel masih boleh berfungsi dengan baik dan seminimum mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kita tidak bergantung sepenuhnya kepada pelancong, kalau bergantung pada pelancong, memang ramai yang akan gulung tikar. Apa pun kita harap sektor perhotelan ini akan berjalan seperti biasa tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Anizam memberitahu, kerajaan negeri kini sedang membaik pulih dan menyiapkan beberapa infrastruktur di lokasi-lokasi tumpuan pelancong di negeri ini.
Katanya, ia sangat penting bagi memastikan semuanya memenuhi syarat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang MKN keluarkan terutamanya melibatkan penjarakan dan penjagaan kebersihan.
Malah katanya, beliau sangat berbesar hati dengan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), walaupun ia akan siap beberapa tahun lagi namun kerajaan negeri telah membuat perangkaan awal persediaan untuk membangunkan ekonomi pelancongan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!