Lelaki reka cerita keluarga maut akibat Covid-19 dipenjara 3 tahun

Mohd Zahazan (dua, kanan) dipenjara tiga tahun, denda RM16,000 dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan. - Foto Bernama
Mohd Zahazan (dua, kanan) dipenjara tiga tahun, denda RM16,000 dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang penyelia kontrak dipenjara tiga tahun, didenda RM16,000 dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua rakan sekerjanya bagi mendapatkan sumbangan derma berjumlah RM8,357, minggu lepas.

Tertuduh, Mohd Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zahazan dengan niat curang menipu rakan sekerjanya dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan perkara itu tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank peribadinya sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan alasan yang sama dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh untuk sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan tertuduh pada 3 September lepas antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Peguam, Nurul Hidayah Mohd Asri sebelum itu memohon hukuman lebih ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain beliau menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh demi kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 yang jika tidak dibayar boleh dipenjara lima bulan dan dikenakan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 yang jika gagal dibayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.

Kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 September.

Minggu lepas tular di media sosial seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyebarkan berita palsu yang mencetuskan simpati orang ramai mengenai kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19, sehingga memperoleh sumbangan orang awam berjumlah RM91,000. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki sebar berita palsu hingga raih derma RM91,000 direman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!