Isu Myanmar: Saifuddin akan hubungi Duta Khas ASEAN

Saifuddin (kanan) ketika menghadiri mesyuarat pada lawatan sulung beliau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada Rabu. - Foto Bernama
Saifuddin (kanan) ketika menghadiri mesyuarat pada lawatan sulung beliau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan menghubungi Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof berhubung gesaan kerajaan bayangan Myanmar yang mahu memberontak menentang pemerintahan junta tentera.

Beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Yangon mengikuti rapat perkembangan terbaru di negara yang dicengkam pergolakan sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, menyaksikan pemerintahan dipilih secara demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan.

Meskipun kurang kemajuan sejak enam bulan lalu, Saifuddin berkata, ASEAN komited untuk melaksanakan konsensus lima perkara yang disepakati pemimpin blok itu sebagai usaha untuk menyelesaikan konflik di Myanmar.

"Saya akan menghubungi beliau dan melihat apa yang boleh kita lakukan untuk mempercepat usaha itu. Tetapi sekarang dengan perkembangan terbaru, kita perlu merangka semula," katanya pada sidang media sempena lawatan ke Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), di sini pada Rabu.

Malaysia sebagai negara anggota ASEAN kecewa kerana kesepakatan itu tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin dan duta khas masih belum berpeluang memasuki Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak berkepentingan.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan beberapa pihak bahawa langkah Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar menggesa pemberontakan terhadap junta, mencerminkan kegagalan ASEAN.

NUG, sebuah kerajaan Myanmar dalam buangan dibentuk ahli Parlimen yang digulingkan tentera pada 1 Februari pada Selasa mengisytiharkan ‘perang membela rakyat’ terhadap junta, mencetuskan kebimbangan lebih banyak pertumpahan darah di negara itu.

Menerusi video yang disiarkan menerusi Facebook, pemangku Presiden NUG, Duwa Lashi La, menggesa semua rakyat Myanmar bangkit menentang pemerintahan tentera.

Artikel Berkaitan:

Konsensus lima perkara iaitu pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA); dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Saifuddin turut menyatakan bahawa bantuan kemanusiaan tidak dapat disalurkan ke kawasan yang terjejas akibat keganasan di negara itu kerana Pusat AHA tidak dipersiapkan untuk menghantar bantuan ke ke zon konflik.

"Sebelum keadaan berubah sekarang, perkara itu sememangnya sudah menjadi perkara yang amat dibimbangkan,” katanya.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan sementara Afghanistan yang juga diumumkan pada Selasa, Saifuddin mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Malaysia belum memutuskan pendiriannya dan Kabinet akan membuat keputusan mengenainya pada Jumaat.

“Kita berdiri teguh bersama rakyat Afghanistan dan pada Mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kami akan memutuskan isu mengenai pengiktirafan, bantuan kemanusiaan dan sebagainya untuk Afghanistan,” katanya.

Malaysia akan turut menyertai persidangan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 13 September, bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Afghanistan, sambil Saifuddin berkata, ikrar bantuan daripada Malaysia turut akan diputuskan pada Jumaat.

Beliau turut berkata, pihaknya akan berunding dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menilai apa yang dapat dibantu oleh Malaysia menerusi pertubuhan itu.

Mengulas mengenai status Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spin Ghar, Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan meminta diplomat itu meninggalkan Kuala Lumpur.

“Saya tidak pasti sama ada beliau menerima sebarang tauliah baharu daripada Kabul kerana kerajaan baharu saja dibentuk, tetapi kami tidak akan meminta beliau keluar kerana kami faham dalam keadaan seperti sekarang, sesetengah kerajaan mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan baharu mengenai perwakilan dan lain-lain,” katanya.

Pada Selasa, jurucakap Taliban, Zabihullah Muhahid mengumumkan barisan kerajaan baharu dengan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri.

Taliban memasuki Kabul pada 15 Ogos dan mengambil alih Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun ketika tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu. Selepas Taliban berjaya menawan ibu negara itu, presiden Mohammad Ashraf Ghani, keluar daripada Afghanistan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!