Tiga cedera, lori pembancuh simen langgar dua kenderaan
PETALING JAYA - Tiga individu termasuk seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori pembancuh simen terbabas dan melanggar dua kenderaaan sehingga terjatuh ke dalam longkang di Jalan PJU 8/8 Damansara di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.07 petang.
"Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara tiba ke lokasi kejadian pada jam 2.21 petang," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Norazam berkata, lori yang dipandu lelaki berusia 50-an itu telah terbabas dan melanggar kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki dan wanita.
"Lori berkenaan turut melanggar sebuah kenderaaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di bahu jalan," katanya.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan itu terjatuh ke dalam longkang.
"Pemandu lori yang tersepit itu telah dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat, manakala dua individu lain telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kami tiba ke lokasi.
"Kesemua mangsa cedera ringan, pemandu lori telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, manakala dua lagi mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!