Ada berita baik untuk aktiviti sukan padang, gimnasium: Khairy
SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengumumkan berita baik mengenai pembukaan gimnasium dan sukan padang dalam masa terdekat.
Ujar beliau, permintaan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu telah dibincangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19.
“Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memang prihatin terhadap sektor sukan.
“Tadi dibincang dan diputuskan di sidang MKN Covid-19. Berita yang baik akan diumumkan,” katanya melalui ciapan di Twitter beliau pada Rabu.
Pada Selasa, kerajaan bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif pada Khamis ini.
Sehubungan itu, Ahmad Faizal menggesa kerajaan pertimbangkan pembukaan gimnasium dan sukan padang dengan pelaksanaan prosedur SOP yang ketat.
“Pawagam dibuka ? Gim dan sukan luar ? Tolonglah Khairy Jamaluddin, perlu ada kewajaran dalam keputusan kita.
“KBS telah mencadangkan agar sukan padang dan gimnasium dibuka, kuasa ada pada MKN, harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sokong,” kata Ahmad Faizal dalam ciapan di Twitter beliau pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri KBS gesa pembukaan semula gimnasium, sukan padang
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker berkata, KBS memandang serius terhadap rungutan operator industri khususnya gimnasium dan padang bola sepak berhubung kebenaran untuk beroperasi semula.
“Di peringkat KBS, kita telah membawa hasrat dan kegusaran mereka kepada pihak Jawatankuasa MKN untuk dipertimbang dan diperhalusi sebaik mungkin.
"Ini memandangkan sektor-sektor sosial lain mula dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ditetapkan,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan tersebut mungkin akan memberi kesan kepada ekonomi operator berkenaan.
“Namun, sementara penilaian dibuat oleh sidang khas MKN, saya dengan rendah hati mengharapkan agar semua operator sukan dapat bersabar sedikit masa lagi kerana setiap penilaian yang dibuat mempunyai kesan besar terhadap masyarakat.
“Kita doakan agar semua operator sukan ini dapat kembali beroperasi dalam tempoh terdekat,” kata beliau.
Permintaan @PejaOfPerak untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar. Menteri KBS memang prihatin terhadap sektor sukan. Tadi dibincang & diputuskan di sidang MKN COVID-19. Berita yang baik akan diumumkan.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) September 8, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!