Agenda pembaharuan ekonomi perlu berbeza: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. - Foto Bernama
Tengku Zafrul. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agenda pembaharuan ekonomi Malaysia perlu berbeza, malah turut mengambil kira idea-idea di luar kebiasaan susulan impak pandemik demi memastikan negara terus berupaya untuk melangkah maju, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, cabaran besar bagi ekonomi Malaysia pada hari ini adalah kapasiti atau keupayaan untuk menjana idea-idea, produk, model perniagaan inovatif dan teknik pengeluaran baharu selain menyebarluaskannya secara pantas menerusi ekonomi.

“Sejajar dengan peranan sebagai penggubal dasar, kerajaan kini berdepan cabaran dari segi kekurangan yang ketara.

“Walaupun berjaya mencatat peningkatan dalam usaha mengurangkan jurang ketidaksamaan (kekayaan) sejak 30 tahun lepas, Malaysia masih belum mencecah tahap yang membolehkan kita dengan selesanya mengakui bahawa isu terbabit berjaya ditangani secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Pendidikan Global dan Kolokium Pascasiswazah 2021 (GECPC 2021) secara maya yang dihoskan oleh Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) di sini pada Rabu.

Acara dua hari itu menghimpunkan hampir 20 penceramah antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat, China, Finland, Finland, Singapura dan Hong Kong.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, penggubal dasar turut menyedari mengenai segelintir rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran untuk keluar daripada kancah kemiskinan dan penggunaan teknologi dan penerapan digital dilihat sebagai wajar bagi membantu mereka terbabit.

Selain itu, beliau berkata, terdapat jurang serta isu dalam usaha penyampaian bantuan kepada kelompok tertentu masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Pandemik ini telah mendedahkan wujudnya beberapa jurang dalam usaha penyampaian perkhidmatan awam yang sebaliknya sedang giat untuk ditangani oleh barisan kepimpinan sekarang.

“Terdapat ruang dari segi perubahan peranan yang dimainkan oleh dasar kerajaan, terutama dalam aspek penyediaan jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, biarpun gabungan dalam bentuk bantuan tunai secara langsung dan subsidi bagi barangan keperluan harian seperti minyak masak dan tepung dapat memenuhi keperluan golongan memerlukan, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menangani ketidaksamaan dan jurang keselamatan sosial dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pada masa sama, kalangan profesion berkaitan ekonomi juga perlu bertindak menyesuaikan diri untuk memenuhi kekangan dasar Malaysia, terutama selepas berlakunya impak pandemik global seperti Covid-19 yang terbukti mencabar semua akademia ekonomi konvensional.

“Kita memerlukan pakar, lebih daripada sebelum ini, untuk bangkit membantu menangani kekurangan serta pelaksanaan preskripsi ekonomi yang tersasar ini. Berdasarkan kesemua data dan teknologi yang ada pada masa ini, kita sebaliknya masih bergelut dengan jangkaan dan model unjuran seperti yang dilakukan pada 50 tahun lepas.

“Justeru, peranan pengetahuan ekonomi sewajarnya tidak dipersoalkan. Ujian terbesar terhadap ekonomi adalah untuk membantu menangani cabaran yang dihadapi oleh penggubal dasar di mana-mana sahaja pada masa ini krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang buruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, secara asasnya, penggubal dasar di kebanyakan negara perlu menangani aspek pertumbuhan produktiviti terutama dalam kelembapan ekonomi global yang berlaku serentak akibat pandemik.

Berkongsi perspektif Malaysia, beliau berkata, sumbangan bermakna terhadap pertumbuhan produktiviti itu adalah daripada pengembangan modal yang dilihat menunjukkan isyarat tepu sejak beberapa tahun lepas sebelum pandemik itu melanda.

“Cukuplah untuk dikatakan bahawa negara ini tidak bergerak pantas seperti sewajarnya dalam aspek automasi pekerjaan atau tugas secara besar-besaran seperti yang sering kita bincangkan. Bagi kita, sektor seperti pengilangan dan pertanian akan terus bergantung kepada tenaga kerja, terutamanya dalam kalangan pekerja asing,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, keusahawanan bersifat merosakkan yang memanipulasi dasar awam juga perlu dihapuskan manakala dinamisme melalui keusahawanan produktif dalam pasaran persendirian pula harus digalakkan.

“Ahli ekonomi dan akademik mempunyai peranan sama yang perlu dimainkan memandangkan manipulasi dasar awam ini didorong oleh insentif dan sebahagian daripada insentif ini pula terdapat dalam reka bentuk pasaran.

“Perniagaan dan korporat juga ada tanggung jawab dengan menyokong dasar ekonomi awam yang baik berbanding langkah khas yang bermatlamatkan kepentingan individu.

“Bagi saya, pasaran dan persaingan dengan fokus pengguna yang mantap dan disokong oleh peraturan sewajarnya akan tetap menjadi penyelesaian kukuh terhadap monopoli pengeluar yang kurang persaingan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!