Polis Pulau Pinang rampas syabu bernilai RM57.7 juta sejak Januari

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang merampas dadah sintetik jenis syabu bernilai RM57.7 juta sejak awal tahun ini hingga semalam, dipercayai hasil penguatkuasaan ketat polis sepanjang sekatan pergerakan dalam usaha memerangi dan membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sepanjang tempoh sekatan pergerakan, polis meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan ketika itu pihaknya berjaya mengesan serta membongkar kegiatan pengedaran dadah.

"Pulau Pinang merupakan negeri strategik untuk sindiket pengedaran dadah menjadikan negeri ini sebagai lokasi menjalankan kegiatan tersebut berikutan kita (Pulau Pinang) berada di perairan Selat Melaka dan mempunyai akses darat, udara serta lautan untuk ke sini, dadah bukan sahaja dibawa masuk untuk pasaran di sini sebaliknya untuk antarabangsa.

"Saya percaya dengan kehadiran pegawai dan anggota polis semasa membuat rondaan pematuhan Covid-19 serta intipan dijalankan, berjaya membawa kepada rampasan syabu sebanyak RM57.7 juta.

"Selain berperang dengan pandemik Covid-19, kita masih lagi berperang dengan najis dadah dan bukan sahaja kerugian wang namun ia mengakibatkan generasi muda kita menjadi lebih teruk berpunca daripada dadah," katanya dalam sesi dialog awam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook di sini pada Rabu.

Selain Mohd Shuhaily, sesi yang membincangkan tajuk, Pandemik Covid-19: Bersama Menuju Ke Arah Kesejahteraan itu turut disertai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang Zakaria Taib dan Ketua Penolong Pengarah (Penyakit Berjangkit) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Rozaini Mat Shah.

Mohd Shuhaily berkata, selain syabu, pihaknya turut merampas 13,489 biji pil eramin 5 bernilai RM202,335; 1,233 biji pil ekstasi bernilai RM22,194 dan 335 biji pil yaba bernilai RM3,350 sepanjang tempoh sama.

Ekoran situasi pandemik Covid-19,ujarnya, polis mendapati, sindiket pengedaran dadah telah mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan kenderaan seperti lori untuk menyorok bungkusan dadah di bahagian kenderaan itu yang diubah suai.

Artikel Berkaitan:

"Mereka cuba mengambil kesempatan memandangkan sekatan jalan raya kurang memeriksa lori namun cubaan mereka seringkali gagal dan kami berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah kerana membuat pemeriksaan yang lebih teliti ke atas kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, ekoran ramai orang terkesan akibat dibuang kerja, telah wujud satu lagi cabang jenayah siber iaitu penipuan tawaran kerja di Shopee dengan 80 kes dicatatkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

"Sebelum ini, jenayah siber biasanya melibatkan macau scam, e-dagang, parcel Love scam, pelaburan dan penipuan tidak wujud sahaja namun ketika pandemik Covid-19 melanda, kami mendapati ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan menawarkan kerja yang tidak wujud di Shopee dan ramai yang menjadi mangsa adalah golongan muda serta pencari kerja," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 110 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 sejak tahun lepas dan ketika ini seramai 62 orang termasuk ahli keluarga mereka sedang dikuarantin.

"Polis menjalankan tugas seperti biasa termasuk operasi-operasi khas berkaitan Covid-19 dan kami mematuhi SOP yang ditetapkan dengan ketat bagi memastikan tidak dijangkiti penyakit itu," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!