Isu logo: Pemuda DAP minta akur keputusan Majlis Presiden PH
SHAH ALAM - Pemuda DAP mencadangkan agar barisan pembangkang akur dengan keputusan yang dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkenaan isu penggunaan logo dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketuanya, Howard Lee berkata, pembangkang tidak perlu membazirkan tenaga dengan mengungkit isu kerjasama antara parti yang sudah sekian lama diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
Katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 September lalu menyatakan parti utama dalam gabungan tersebut secara prinsipnya telah bersetuju untuk menggunakan logo gabungan tersebut.
“Keputusan di Majlis Presiden itu dicapai setelah adanya perbincangan yang panjang lebar semenjak bulan Mei 2021 lagi. Meskipun ia sudah mengambil masa yang lama, kita harus akur bahawa keputusan tetap keputusan.
“Selaku anggota Majlis Presiden, dan juga wakil anak muda akar umbi, saya akui bukanlah semua keputusan yang dicapai boleh saya persetujui sepenuhnya.
“Tetapi, berbekalkan semangat tanggungjawab kolektif serta daya upaya untuk menurut arahan Pengerusi PH untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, kita mesti bertolak ansur dan menerima serta mempertahan keputusan jemaah dan terus mara ke depan bersama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Rabu.
Pada Selasa, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menggesa supaya logo dan bendera parti itu digunakan oleh calon yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.
Mengulas lanjut, Howard berkata, Pemuda DAP turut ingin menasihatkan supaya keputusan yang dicapai oleh gabungan tersebut kekal dibincangkan secara dalam demi menjunjung kerukunan antara komponen yang telah terbina sekian lama.
“Semangat kerjasama yang ada ini masih perlu terus diangkat, dan bukannya sengaja memberi laluan tekan-menekan secara konfrontasi yang akhirnya meniup kita ke arah kemudaratan," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!